Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor P Ramasamy menjelaskan model itu wujud akibat penguasaan Umno dalam agenda 13 parti komponen gabungan itu.
BN dibentuk pada 1974 sebagai menggantikan Perikatan, gabungan yang asalnya dianggotai Umno, MCA dan MIC sejak negara mencapai kemerdekaan.
Ramasamy berkata isu kaum tidak lagi menarik minat orang Melayu berikutan perubahan sosio-ekonomi dan peningkatan kelas menengah kaum itu. "(Keadaan ini) menyebabkan sokongan (kepada) Umno merosot."
Ketika wujud Perikatan, tiga parti yang mewakili tiga kaum utama itu mempunyai kuasa tawar-menawar yang seimbang, katanya lagi, membandingkan perbezaan model dua gabungan itu.
Beliau diminta mengulas konvensyen Barisan Nasional yang akan diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia Putra. Dalam acara itu, pakatan itu akan melancarkan buku dan video cakera padat yang memberikan fokus kepada perimbangan isu-isu antara kaum.
Kontrak sosial
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad bagaimanapun berkata kedudukan Umno yang dominan dalam pakatan pemerintah itu penting untuk menjayakan kepimpinan politik Melayu di negara ini.
Pandangannya turut dikongsikan dengan pensyarah Universiti Malaya, Profesor Dr Ramlah Adam yang mengumpamakan Umno sebagai "abang sulung kepada adik-beradiknya (parti-parti komponen BN)."
"Kedudukan setiap parti tidak sama. Ada parti besar, kecil, sederhana setiap parti menjadi check and balance (membetulkan antara satu sama lain)," katanya, mengulas peranan Umno sebagai pembuat keputusan utama dalam kerajaan.
Ramlah menegaskan sikap bertolak-ansur kepimpinan masyarakat bukan Melayu dan pendekatan sederhana parti-parti BN berjaya mengeratkan kerjasama sesama mereka.
"Mesti ada persetujuan dalam perkongsian kek ekonomi dan (setiap kaum) jangan melanggar kontrak sosial yang telah dipersetujui," kata pensyarah sejarah itu lagi.
Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali pula berkata walau Umno menguasai parti-parti komponen BN, tetapi nasib orang Melayu masih tidak banyak berubah.
"Memang ada orang Melayu menjadi ahli perniagaan (besar), pegawai tinggi, atau jutawan tetapi jurang kemiskinan (dalam kaum itu) semakin membesar," kritiknya.
BA cuba dicontohi
Beliau tidak beranggapan model BN bukanlah baru, malah gabungan parti memerintah turut diamalkan di negara-negara lain.
Dr Syed Husin sebaliknya melihat kerjasama BN semakin lemah sebab setiap parti komponen menghadapi perpecahan.
"Barangkali apabila melihat Barisan Alternatif sentiasa mengadakan pertemuan, pemimpin bergerak bersama, mereka melihat kerjasama BA dan cuba mencontohi," katanya lagi, apabila diminta mengulas acara yang bakal dianjurkan BN esok.
Seorang lagi tokoh akademik Dr Rashila Ramli berkata walau Umno mempunyai suara yang lebih besar dalam BN tetapi parti itu harus mendengar sekurang-kurangnya dua lagi parti terbesar iaitu MCA dan MIC.
"Kalau parti-parti itu keluar, kedudukannya (Umno) akan tergugat," katanya dengan menegaskan perkongsian kuasa masih penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Beliau tidak menolak jalinan BN akan bertambah kukuh selagi wujudnya "komunikasi terbuka dan sanggup menerima kritikan" antara parti-parti itu.
