Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU salahkan 'puak bercanggah' dalam PAS gagalkan rundingan
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 8:30 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na'aman menyalahkan "puak yang bercanggah" dalam PAS atas kegagalan rundingan antara kedua-dua parti itu bagi memuktamadkan pakatan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Katanya, pendirian kepimpinan PAS terhadap usaha rundingan dengan BERSATU dilihat berbeza, seolah-olah wujud dua puak dalam PAS.

Satu pihak, katanya, mahu perdamaian dengan BERSATU melalui timbalan presidennya (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), dan lagi satu pihak yang dilihat anti-kerjasama dengan parti itu diketuai presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri.

Muhammad Faiz menegaskan demikian dalam satu kenyataan selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan menyalahkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad atas kegagalan rundingan itu, dengan mendakwa bekas perdana menteri itu mempunyai kuasa veto ke atas keputusan yang dibuat.

Muhammad Faiz menegaskan bahawa setiap keputusan politik BERSATU diputuskan secara konsensus oleh Majlis Pimpinan Tertinggi atau Majlis Presiden.

Sambil menegaskan bahawa tiada diktator dalam parti itu, beliau bertanya dari sumber mana yang menuduh Dr Mahathir menggunakan kuasa veto dalam BERSATU.

Usaha rundingan antara PAS dan BERSATU, tegas Muhammad Faiz, sejak awal lagi mengalami pelbagai kesukaran atas beberapa faktor yang majoritinya berasal dari pihak kepimpinan PAS sendiri.

Beliau berkata apabila presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PAS telah bersetuju dengan rundingan mengenai kerusi dengan BERSATU selepas perbincangan dengan Tuan Ibrahim, "ini segera disangkal oleh pemimpin PAS yang lain".

Muhammad Faiz turut menyenaraikan beberapa isu lain di sepanjang rundingan, termasuk Presiden PAS Abdul Hadi tidak menghadirinya walaupun pasukan BERSATU dipimpin oleh Muhyiddin.

"Ini menunjukkan ketiadaan komitmen atau mungkin keangkuhan di pihak kepimpinan PAS yang tidak serius meraikan usaha rundingan sesama ummah.

"Mungkin pihak kepimpinan PAS anggap status presiden BERSATU tidak sama dengan presiden PAS," tambahnya.

Muhammad Faiz berkata semasa rundingan, beberapa pemimpin PAS termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Datuk Mohd Amar Abdullah, Nasruddin Hassan, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, Mohd Zuhdi Marzuki dan Hadi sendiri berterusan menghentam pengerusi BERSATU.

Beliau berkata, itu menunjukkan bahawa pemimpin PAS tersebut tidak faham erti "gencatan senjata" semasa rundingan dijalan.

Katanya, itu belum termasuk syarat yang dikenakan kepimpinan PAS ke atas BERSATU hingga mempersulitkan lagi proses rundingan seperti mahu parti itu memilih antara Pakatan Harapan atau PAS, sedangkan BERSATU diketahui berusaha untuk menyatukan semua blok pembangkang untuk menghadapi BN.

Sekarang, tegasnya, rakyat boleh menilai pihak mana yang sebenarnya mempersulitkan usaha rundingan ini setelah tiga kali pertemuan diadakan antara pasukan rundingan BERSATU dengan PAS tanpa sebarang hasil yang jelas.

Pendirian BERSATU sekarang, tegas Muhammad Faiz, ialah menangguhkan sebarang rundingan rasmi dengan PAS sehinggalah PAS sendiri yang membuat keputusan rasmi di pihak mereka ketika Muktamar PAS bulan depan.

 [Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS