Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mungkin selepas mentadbir beberapa negeri dan menduduki kerusi-kerusi penting dalam kerajaan negeri, PAS berpendapat mereka sudah kuat dan tidak memerlukan lagi parti komponen untuk bekerjasama.

Hakikatnya PAS lupa bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa kerjasama dengan parti komponen PKR dan DAP dalam dua pilihan raya yang lalu.

Jika dianalisis, PAS tidak kuat jika bergerak secara solo. PAS hanya berjaya mendapat tempat oleh kerana sokongan dari pengundi atas pagar dan pengundi yang bukan ahli PAS terutamanya di kawasan pantai barat seperti Selangor.

Ternyata senario pengundi bukan Melayu yang mengundi PAS sebelum ini tidak akan berulang sekali lagi jika dinilai posisi yang diambil oleh PAS dalam konteks politik Malaysia sejak kebelakangan ini dan mungkin akan menjadi antara faktor kepada kekalahan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS dilihat sebagai rakan mesra kepada Umno sejak akhir-akhir ini. Tatkala keyakinan rakyat terhadap Umno semakin merosot dari hari ke hari, PAS memilih untuk 'bermesra' dengan Umno.

Amat mengejutkan apabila baru-baru ini ada seorang pemimpin PAS pusat mempertahankan dan menyatakan simpati kepada YAB Datuk Seri Najib Razak seolah-olah pemimpin tersebut bercakap dalam kapasiti Ketua Pemuda Umno Malaysia. Melucukan.

Dalam pilihan raya lalu, rakyat mengundi PAS kerana mereka menolak Umno dan bukan kerana kekuatan PAS. Oleh kerana rakyat benci kepada Umno lalu kebencian itu dizahirkan dalam bentuk undi.

Saya tidak pasti jika agenda dan dasar ekonomi PAS merupakan faktor utama masyarakat dalam pilihan raya lalu mengundi PAS?

Kemesraan dengan Umno bukan lagi gimik. Ia telah menjadi realiti. Malah secara terang-terangan tanpa sembunyi lagi.

Sungguh jelas sehingga sukar untuk kita bezakan yang mana satu Umno dan yang mana satu PAS, pada hari ini kerana rupa dah sama, nada juga sama, matlamat dan cita-cita juga sama.

Persoalannya apakah ahli akar umbi PAS boleh menerima kemesraan ini?

'Penasihat' kerajaan

Lihat sahaja mesej yang dihantar oleh akar umbi PAS di Pengkalan Chepa. Mungkin majoriti akar umbi tidak senang dengan pemimpin PAS yang dilihat seakan-akan 'mesra' Umno? Kita tidak akan tahu kerana pertandingan tersebut hanya 'suka-suka'.

Tatkala negara berhadapan dengan isu ekonomi, skandal rasuah, tuduhan demi tuduhan yang tidak terjawab serta siasatan negara luar berkenaan skandal kewangan negara, PAS lebih berminat dengan isu baiah dan kecam mengecam rakan-rakan pembangkang lain.

Malah yang lebih mengejutkan kita adalah apabila PAS berminat untuk memainkan peranan sebagai 'penasihat' kepada kerajaan, bukan penentang dan pencabar?

Oh, ini merupakan sikap terpuji. PAS hari ini sangat bersangka baik dan suka menasihati. Sudah tentu ia merupakan satu budaya yang sihat sebagai sebuah parti politik yang serius memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia, bukan?

Banyak profesional yang telah meninggalkan PAS. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana anda tidak perlu menjadi profesional untuk bersama PAS.

Anda cuma perlu kemaskini status di Facebook dan pergi ke parlimen bagi menyemak jadual parlimen untuk mengetahui bila RUU355 akan disenaraikan dan dibentangkan serta tempoh masa ia akan ditangguhkan pada persidangan parlimen seterusnya dan seterusnya.

PAS kini kembali kepada parti PAS yang asal, gah memerintah Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu, sehingga menjadi negeri 'termaju' dalam Malaysia. Agak terkejut juga apabila timbul ura-ura bahawa PAS mahu menawan Selangor.

Lupa kedudukan di Selangor

Adakah PAS lupa di mana kedudukan PAS di Selangor sebelum wujudnya Pakatan Rakyat? PAS sentiasa bermegah dengan kuasa jentera mereka yang ramai dan mendakwa bahawa selama ini PKR dan DAP hanya bergantung kepada kekuatan jentera PAS dalam berkempen. Mungkin PAS lupa ini sudah tahun 2017, bukan 1977 lagi.

Jumlah jentera kempen memainkan peranan yang kecil pada hari ini terutama di kawasan bandar.

Tatkala kita boleh mengikuti ceramah melalui 'live feed' daripada Facebook sahaja dengan duduk sofa sambil makan kuaci, dengan kuasa maklumat di hujung jari kerana internet tanpa batasan, adakah PAS masih berpendapat kekuatan jentera untuk memasang  poster dan bendera adalah relevan untuk memenangi pilihan raya?

Saya yakin tanpa jentera yang besar, tanpa poster dan bendera yang banyak sekalipun sesebuah parti boleh memenangi pilihan raya kerana trend hari ini adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan waktu zaman sebelum internet dahulu.

Tetapi tidak dinafikan bahawa mungkin PAS mempunyai sedikit kelebihan di kawasan luar bandar.

Sepatutnya PAS mencari 'common ground' dan bekerja sama dengan parti pembangkang lain. Tetapi hakikatnya tidak. PAS memilih untuk 'bercakaran' dengan parti-parti pembangkang yang lain. Ini amat mengecewakan rakyat. Dan rakyat yang kecewa akan menghukum PAS dalam pilihan raya akan datang.

'Bertomoi' rakan pembangkang

Dengan menyatakan bahawa ia akan bertanding dalam semua kerusi di Selangor, PAS hanya bertindak sebagai pemecah undi dan ini hanya akan memudahkan Barisan Nasional memenangi pilihan raya akan datang.

Rakyat hari ini sudah bijak dan boleh menilai keikhlasan PAS dalam memperjuangkan hak rakyat yang semakin tertindas dengan kos sara hidup yang tinggi serta skandal yang berleluasa. Bagaimanapun rakyat nampak bahawa PAS lebih berminat untuk ber'tomoi' dengan rakan-rakan pembangkang lain sahaja.

Rakyat juga mungkin keliru terhadap perjuangan PAS pada hari ini. Masakan tidak, hari ini melawan BN, esok menyokong BN, lusa berbincang dengan PPBM, tulat menghentam DAP, hari kemudiannya bergaduh dengan PKR, selepas itu mengecam AMANAH dan begitulah seterusnya selama berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan.

Rakyat semakin bingung dan keliru dengan kehendak dan hala tuju PAS yang sebenar.

PAS boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang bocor, ke darat tidak, ke lautan juga tidak. Tiada nakhoda yang boleh memberikan panduan yang jelas, tiada sauh untuk dilabuhkan, tiada layar yang kuat, tetapi dengan keyakinan yang tinggi ia boleh membelah lautan Hindi. Menyedihkan.

PAS boleh bersiap sedia untuk kembali ke Kelantan semula seperti mana asalnya. Jangan lupa wahai PAS, rakyat mengundi Pakatan Rakyat, bukan PAS. PAS berada di kedudukannya hari ini kerana Pakatan Rakyat, bukan kerana PAS itu sendiri.


Mohammad SIDDIQ AZANI Adalah seorang peguam

Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

Lihat Komen
ADS