Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berwaspada amaran menteri, kata pemimpin pembangkang
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 1:29 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud hari ini membidas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberi amaran kepada guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan awam.

Katanya, kenyataan itu satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

“Walau bagaimanapun, menyedari suasana kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mahdzir pada sesi dialog bersama warga pendidik di Kuala Terengganu, semalam, berkata setiap kakitangan awam sepatutnya sedar bahawa mereka terikat dengan peraturan yang ditetapkan dalam Perintah Am dan tindakan mengkritik kerajaan tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, menteri Umno itu sepatutnya tidak mencampuri urusan guru di luar waktu sekolah, sebaliknya memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Agak aneh apabila pemimpin negara seperti Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

“Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Wanita AMANAH itu juga menggesa Mahdzir supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar yang masih belum menikmati infrastruktur pendidikan yang sempurna.

“Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai menteri pendidikan,” katanya.

Mahdzir juga dilaporkan berkata hanya sebilangan kecil daripada 435,000 guru di seluruh
negara yang dikesan terlibat secara aktif dengan pembangkang tetapi pihaknya sedang memantau perkara tersebut.

 

Lihat Komen
ADS