Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita maut, enam parah bas terbalik di lebuhraya PLUS

Seorang wanita maut, enam cedera parah dan 14 cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Km152, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, dekat Butterworth hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 4.15 pagi itu, Norazah Azizan, 29, dari Padang Pusing, Pendang, Kedah maut di tempat kejadian akibat tersepit, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abd Samad.

Bas Shamisha Ekspres yang membawa 28 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra, Kedah, katanya di Butterworth hari ini.

"Bas tersebut dikatakan terbabas dan hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang yang tiba-tiba melintas di atas lebuhraya.

"Kejadian itu menyebabkan bas berkenaan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah lebuh raya sehingga mengakibatkan beberapa penumpang tersepit," katanya.

Shafee berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat manakala empat wanita dan dua lelaki yang cedera parah turut dirawat di hospital sama.

"Manakala 14 lagi yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSJ sebelum mereka meneruskan perjalanan. Tujuh termasuk pemandu dan pemandu kedua tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya daripada 14 yang cedera ringan itu, lima daripadanya ialah warga India yang merupakan antara lapan anggota tabligh dari negara itu dan seorang warga Kemboja.

Katanya siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 40 tahun itu mempunyai tiga saman yang belum dijelaskan.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang cedera ringan, S. Pushpamala, 46, mendakwa pemandu hanya berhenti kira-kira lima minit di hentian rehat Sungai Bakap dan selepas 15 minit perjalanan, bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan.

"Semasa kejadian, penumpang lain sedang tidur tiba-tiba menjerit dan ketika saya mencari beg, saya ternampak ibu Norazah yang berusia 50-an sebelum meminta tolong penumpang lain menyelamatkannya.

"Norazah yang tercampak dari kerusi bahagian belakang tersepit dan disahkan meninggal di tempat kejadian," katanya yang mengalami kecederaan di kaki kanan ketika ditemui pemberita di Jabatan Kecemasan HSJ di Butterworth.

Pekerja kilang di Sungai Petani, Kedah itu berkata dia dalam perjalanan
balik selepas melawat anak saudaranya (lelaki) yang kemalangan di Kuala Lumpur.

Seorang anggota tabligh yang dikenali sebagai Abdullah, 40-an, berkata
mereka tiba di Kuala Lumpur semalam dan dalam perjalanan ke Jitra untuk menjalankan kerja-kerja dakwah selama empat bulan di sana.

"Kami semua masih terkejut dengan kemalangan itu tetapi reda dan bersyukur kerana saya serta empat lagi hanya mengalami kecederaan ringan. Kami akan terus ke Jitra dan menyampaikan dakwah," katanya yang patah tangan. -Bernama

Lihat Komen
ADS