Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PKR tak pernah putuskan hubungan dengan parti sahabat’
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 5:03 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau masih terbuka untuk berbincang dengan PAS, walaupun beberapa bahagian parti itu di Pulau Pinang dan Selangor mahu memutuskan semua hubungan.

Azmin berkata terpulang kepada pucuk pimpinan PAS untuk menerima usul dari bahagian Permatang Pauh dan Bayan Baru yang mahu memutuskan hubungan dengan PKR.

Katanya, tindakan mereka itu sebahagian daripada proses demokrasi dan PKR tidak pernah memutuskan hubungan dengan parti-parti politik yang dianggapnya sebagai 'sahabat'.

"Kita menghormati perbezaan tetapi tidak sampai memutuskan hubungan begitu rupa.

"Kita masih yakin dan percaya keperluan kepada satu muafakat yang utuh itu amat penting bagi menyelamatkan negara dan rakyat keseluruhannya, itu pendirian PKR," katanya yang ditemui selepas persidangan DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Semalam, PAS kawasan Bukit Mertajam menjadi kawasan kesembilan yang sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan politik atau tahaluf siyasi dengan PKR di Pulau Pinang.

Sebelum ini, antara kawasan PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan politik dengan PKR adalah Nibong Tebal, Permatang Pauh, Bayan Baru dan Bukit Bendera.

Turut berbuat demikian adalah PAS kawasan Balik Pulau, Jelutong, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, PKR tidak mempunyai isu bekerjasama dengan PAS di Selangor.

Malah, beliau memuji kerjasama PAS di negeri itu yang turut disertai oleh wakil AMANAH, DAP dan BERSATU.

"PAS Selangor juga telah mengeluarkan kenyataan pada masa lalu, mempertahankan agenda bersama untuk negeri ini, dan pada mesyuarat exco, exco-exco PAS juga mempertahankan dasar-dasar kerajaan negeri Selangor.

"Saya tidak mempunyai masalah, kamu juga boleh menghadiri mesyuarat exco kami akan datang. Mereka (exco PAS) sentiasa hadir memberi sokongan kepada kerajaan negeri, dan kami juga menjangkakan bahawa PAS Selangor akan mempertahankan kerjasama yang wujud selama ini. "

Tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor adalah Datuk Iskandar Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Sementara itu, mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan kerjasama dengan parti lain ibarat 'memikul biawak hidup', Azmin berkata, istilah itu tidak manis.

Namun, katanya, PKR, tetap yakin dengan permuafakatan dalam pakatan pembangkang dan akan sentiasa menghormati sebarang perbezaan pendapat.

"Kita kena saling hormat-menghormati sebab kalaupun kita berhujah dengan musuh sekalipun tiada keperluan guna istilah itu.

"Usahlah lontarkan istilah begitu, tidak manis di khalayak ramai, kita patut zahirkan kata-kata yang lebih manis, lebih lunak.

Pada Sabtu lalu, media sosial melaporkan Abdul Hadi berkata PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan atau pun Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum.

Abdul Hadi berkata kerjasama dengan parti lain umpama 'memikul biawak hidup', dan PAS akan mengambil pendekatan sendiri dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Lihat Komen
ADS