Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Hanya calon hebat mampu lawan Najib di Pekan’
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 1:00 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Mana-mana calon yang ingin bertanding menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang di Pekan perlulah seorang yang benar-benar 'hebat', kata seorang tokoh akademik.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Said berkata calon itu juga mestilah seorang yang sudah berada lama dalam arena politik.

"Calon mestilah bertaraf seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kepada Sinar Harian.

Katanya, sekiranya calon yang menentang Najib adalah orang 'biasa-biasa', calon berkenaan itu akan mudah dikalahkan Najib.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, terpulang kepada mana-mana pihak yang mahu mencabar Najib di kubunya di parlimen Pekan.

"Terpulang kepada mereka, menang kalah isu kedua," katanya.

Ahli akademik itu mengulas laporan bahawa seorang individu yang mengaku dirinya Datuk Abdul Rahman Mohd Nor secara terang-terang menegaskan bahawa beliau akan melawan Najib dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau adalah anak Pekan, berusia 69, dan beliau begitu kecewa kerana Najib telah mengaibkan rakyat dan negara atas cetusan skandal 1MDB dan yang berkaitan dengannya.

Dalam sebuah video yang disiarkan di You Tube pada 21 Mac lalu, Abdul Rahman yang berpakaian segak berkata beliau adalah ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Pekan dan berharap akan terpilih sebagai calon bagi kerusi itu.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau menyertai perkhidmatan awam selepas mendapat ijazah Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1972, dan bersara pada 2004.

"Pada awal kerjaya saya, saya berkhidmat selama lima tahun dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

"Antara tugas penting saya adalah secara peribadi membantu dan menjaga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (ayah Najib), perdana menteri kedua sepanjang tempoh tiga minggu terakhir hayatnya ketika beliau menjalani rawatan perubatan di London," katanya.

Mendakwa bahawa ekonomi Malaysia sedang merudum disebabkan oleh kepimpinan Najib yang tidak cekap, beliau antara lain membidas perdana menteri yang membisu mengenai skandal 1MDB dan kegagalannya bertindak berhubung saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

"Demi menyelamatkan negara dan rakyat, Najib perlu dikalahkan dalam pilihan raya," katanya, sambil mendakwa bahawa rakyat Pekan yang cintakan keamanan dan kejujuran "malu" dengan wakil rakyat mereka.

Dalam nada menyindir, Abdul Rahman mendakwa bahawa tidak seperti Najib, sumber kewangannya untuk kempen pilihan raya akan datang adalah terhad, dan beliau tidak mempunyai "penderma Arab".

"Saya hanya mempunyai diri saya dan beberapa penyokong yang rapat. Jika kamu bersedia untuk menyokong saya dalam perjuangan ini menentang rasuah dan ketidakcekapan, saya akan sangat berterima kasih," katanya sambil memberikan butiran akaun Maybank dan Standard Chartered beliau.

Najib dipilih sebagai ahli Parlimen Pekan pada tahun 1976 pada usia 23 tahun, menggantikan bapanya yang meninggal dunia ketika itu.

 

Lihat Komen
ADS