Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam: Pukulan mungkin sebabkan kematian tahanan
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 2:07 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kematian S Balamurugan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 7 Februari lalu mendapati bahawa mangsa diseksa dan ditahan secara tidak sah.

Suhakam berkata ia dimaklumkan bahawa mangsa yang ditahan bersama dua suspek lain pada 6 Februari, telah dipukul oleh polis antara jam 7.30 petang hingga 9.30 malam di balai polis Bandar Baru Klang sebelum dipindahkan ke ibu pejabat polis daerah.

Suruhanjaya itu berkata Balamurugan, 44, tidak dapat berjalan apabila dia dipindahkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara ke lokap di Shah Alam pada kira-kira jam 4:10 pagi berikutnya.

Menurut Suhakam, pada jam 10 pagi hari itu, Mahkamah Majistret Klang menyedari kecederaan Balamurugan itu dan menolak permohonan untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Sebaliknya, mahkamah memerintahkan polis supaya menghantar mangsa ke hospital.

Walau bagaimanapun, arahan itu tidak diendahkan oleh pihak polis yang terus menyalahi undang-undang dengan menahan Balamurugan selepas tempoh 24 jam yang dibenarkan berakhir.

Suhakam telah menemubual majistret berkenaan pada 23 Feb, 2017, dan telah dimaklumkan bahawa muka dan mata mangsa bengkak.

"Beliau tidak dapat duduk, berdiri atau mengangkat kepala apabila namanya dipanggil di mahkamah," katanya.

Walaupun pihak polis mempunyai peluang untuk menghantar si mati ke hospital, Suhakam berkata, mereka gagal berbuat demikian dan membawanya semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada kira-kira jam 1.15 petang.

"Suhakam dimaklumkan bahawa si mati menggigil pada ketika itu tetapi dia tidak diberi sebarang rawatan perubatan.

"Menjelang kira-kira jam 6.30 petang, penahanannya menjadi menyalahi undang-undang, keadaan Balamurugan semakin buruk hingga ke tahap di mana dia tidak lagi mampu mengawal kencingnya,” katanya.

Pada kira-kira jam 11.30 malam, Balamurugan tidak lagi sedarkan diri dan pegawai penyiasat percaya mangsa tidak lagi bernyawa.

Mangsa mempunyai kesan lebam ditubuhnya. Dua prosedur bedah siasat kemudiannya dijalankan.

Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang membuat kesimpulan bahawa punca kematian adalah penyakit arteri koronari manakala Hospital Kuala Lumpur berkata ia akibat penyakit arteri koronari dan trauma benda tumpul.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS