Paling Popular
Terkini
story images
story images

Kerajaan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditubuhkan secara sah oleh kerajaan Pulau Pinang.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu Bernama menerusi mesej teks bahawa satu permohonan bagi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan akan difailkan.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mengisytiharkan PPS ditubuhkan secara sah oleh kerajaan negeri.

Mahkamah membenarkan rayuan kerajaan Pulau Pinang untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa penubuhan PPS adalah tidak sah.

Mahkamah Rayuan membenarkan perintah certiorari kepada kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri pada 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram.

Pada 22 Nov tahun lepas Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menolak permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan negeri dengan memutuskan penubuhan PPS menyalahi undang-undang kerana ia tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan.

Kerajaan negeri pada 27 Jan, 2015 memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram.

Kerajaan negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

PPS ditubuhkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2011 dengan objektif membantu kerajaan negeri membanteras jenayah selain menjaga kebajikan dan ketenteraman awam penduduk Pula Pinang.

Anggota PPS berkhidmat secara sukarela.

- Bernama

Lihat Komen
ADS