Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU355: Tujuan politik Umno berjaya, kata Mujahid
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 11:53 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Umno berjaya memanipulasi usaha PAS untuk membentangkan rang undang-undang 355 bagi memperkasakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sehingga menyaksikan parti-parti dalam Pakatan Rakyat bertelagah dan akhirnya berpecah.

Malah, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa, tindakan itu juga menyebabkan pembersihan golongan progresif dalam PAS.

“Sejak awal lagi saya mengambil sikap jika kerajaan melihat isu RUU 355 sebagai keperluan perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan membuat inisiatif.

“Tetapi oleh kerana motif awal ialah kepentingan politik maka RUU 355 digunakan untuk pecahkan Pakatan Rakyat ketika itu dan melemahkan PAS dengan pembersihan golongan progresif dan pro-Pakatan.

“Malangnya, tujuan politik itu berjaya dilakukan,” katanya.

Menurut Mujahid, isu RUU 355 juga sebenarnya dimanipulasikan oleh Umno untuk mengalihkan perhatian dan 'mendiamkan' isu sebenar negara seperti kleptokrasi dan salahguna kuasa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Katanya, amat menyedihkan isu mahkamah syariah dijadikan umpan dan lebih sedih apabila PAS 'tidak menyerang' Umno kerana seolah terikat dengan perjanjian RUU 355 dengan parti itu.

“Marilah kita sedar bahawa isu negara hari ini adalah isu kleptokrasi, salahguna kuasa dan kesannya mengheret negara kepada keberhutangan, nilai ringgit yang jatuh, inflasi dan keputusan pelaburan untuk selamatkan kleptokrasi dan bukan keputusan pelaburan untuk kepentingan negara.

“Hentikan polemik RUU 355, selamatkan negara,” katanya.

Kancah takfir

Mujahid yang kini bersama parti sepihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, selain parti Islam itu yang kini telah berpecah, RUU 355 juga memberi kesan kepada umat Islam sendiri sehingga mengheret mereka ke kancah takfir.

“Ini kerana (mereka) menganggap ia adalah 'undang-undang Islam Hudud' (dan) menolaknya adalah sesuatu yang 'gugur aqidah'.

“Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan digunakan untuk menyatakan semua ahli parlimen 'wajib' sokong sedangkan RUU 355 masih kabur lagi perinciannya,” katanya.

Menurutnya, ahli parlimen Islam ditekan sehingga apabila mereka mengkritik kaedah dan prosedur serta proses perundangan, mereka dianggap sudah menolak 'hukum Allah'.

Malah, katanya, ‘himpunan ungu’ yang diadakan di Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu memperlihatkan bagaimana terdesaknya PAS dan Umno cuba mendapatkan sokongan orang Melayu/Islam.

“Himpunan ungu memperlihatkan terdesaknya PAS dan Umno mahu menggunakan sentimen Islam-Melayu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada asas negara ini dibina iaitu permuwafakatan dan perpaduan nasional antara kaum dan agama,” katanya.

Pertimbangan speaker

Beliau mengulas kenyataan, Najib semalam yang mengumumkan dewan tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355.

Katanya, ini selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

Usul meminda Akta 355 itu dibawa oleh Hadi adalah untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan juga ditentang hebat parti komponen dalam BN.

Lihat Komen
ADS