Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Lelaki didakwa cabul kehormatan jurujual, bukan setiausaha PAS Sgor

Terjemahan Seorang lelaki yang didakwa di mahkamah minggu lalu atas tuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual wanita, bukanlah setiausaha perhubungan PAS Selangor sepertimana yang dilaporkan dalam sebuah lamanweb, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali hari ini.

Ketika diminta mengulas laporan dalam lamanweb Selangor Daily , belia berkata tertuduh, Mohd Nor Izam Awalludin sebenarnya adalah seorang aktivitis parti itu di peringkat kawasan.

"Tidak sepertimana dalam laporan tersebut, dia tidak pernah dilantik sebagai setiausaha perhubungan. Namanya adalah antara yang dicadangkan oleh ketua-ketua kawasan bagi jawatan tersebut. Tetapi selepas dipertimbangkan, kita membuat keputusan melantik seorang pegawai polis bersara, Ahmad Yusof Ludin," katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, kata Hassan, dakwaan bahawa beliau lambat untuk memecat Mohd Nor Izam daripada barisan kepimpinan PAS negeri, kerana dia dikatakan rapat dengannya, adalah tidak berasas sama sekali.

"Ia adalah satu tuduhan liar kerana kita tidak pernah melantiknya (ke jawatan tersebut)," katanya.

Laporan itu mendakwa, Hassan terpaksa memecat Mohd Nor Izam daripada barisan kepimpinannya pada saat-saat akhir, apabila kesnya dilaporkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris.

Pada 1 Julai lalu, Mohd Nor Izam telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual wanita dan memaksanya melakukan seks oral. Dia dikatakan melakukan kesalahan itu dalam sebuah lift pusat membeli belah pada 17 Jun lalu.

Dia tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan dan kini dibebaskan dengan ikatjamin RM12,000.

Jadi mangsa pengkritiknya?

Sementara itu, sumber-sumber parti berkata, tuduhan dalam lamanweb tersebut mungkin didalangi oleh mereka yang berusaha untuk mencemar kepimpinan Dr Hassan.

"Memang terdapat mereka yang rapat dengan pemimpin lama yang tidak senang apabila Hassan dilantik semula untuk memimpin (PAS Selangor). Beliau terpaksa bekerja keras kerana barisan kepimpinan negeri sekarang rapat dengan pemimpin-pemimpin lama," kata seorang ahli politik PAS Selangor yang tidak mahu namanya disebut.

"Timbalannya Dr Shafie Abu Bakar dan Dr Abdul Rani Osman adalah calon-calon yang dicadangkan oleh pemimpin lama untuk menggantikannya! Jadi bolehkah mereka bekerjsama?" soalnya.

Seorang lagi timbalannya ialah seorang ulamak dan presiden Persatuan Ulamak, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin.

Malah, kata sumber-sumber itu lagi, ketiadaan orang kuatnya di peringkat akar umbi, bekas setiausaha PAS negeri itu, Norman Taha dalam barisan kepimpinan baru, turut menjejaskan kepimpinannya di Selangor.

"Beliau perlu lebih berhati-hati dalam apa juga keputusan yang akan diambilnya. Jika tidak, beliau mungkin tidak akan kekal sehingga tahun depan," tambahnya.

Bagaimanapun, Hassan yakin bahawa barisan kepimpinan sekarang akan mampu membawa kemajuan dalam parti itu di Selangor.

"Ini merupakan barisan kepimpinan terbaik untuk parti. Perlantika mereka adalah berdasarkan kepada kredibiliti, kepakaran dan sumbangan mereka kepada parti," tegasnya.

"Saya ingin membuat sedikit perubahan dengan membawa masuk mereka dari luar lingkungan politik parti seperti (aktivis reformasi dan bekas tahanan ISA) Saari Sungib (yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS negeri) kerana mereka boleh menyumbang kepada kebaikan parti," tambahnya.

Bukan satu kompromi

Beliau menafikan bahawa barisan kepimpinan itu merupakan satu kompromi bagi memuaskan hati kepimpinan lama PAS yang tidak menyokong perlantikannya semula di Selangor dan juga pemimpin yang agresif dalam parti itu.

Dr Hassan juga yakin dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan ketua muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan yang merupakan antara lapan pemimpin negeri yang menghantar memorandum membantah perlantikan semulanya sebagai pesuruhjaya PAS Selangor.

Dalam memorandum tersebut, Dr Hassan dikatakan telah mencetuskan perpecahan sewaktu pemilihan dewan muslimat Selangor Mei lalu di mana Wan Hasrina berjaya mengekalkan jawatannya dengan undi tipis.

Menurut Dr Hassan, keadaan kini semakin tenang dan mesra jika berbanding dengan sebelumnya.

"Saya mengakui ianya akan sukar sebelum ini...mungkin salah saya...tetapi kita akan melupakan episod tersebut," kata Hassan.

Beliau berharap pemilihan Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Halimah Ali, yang dilihat sebagai pemimpin muslimat yang progresif, akan membolehkan beliau bekerjasama rapat dengan pemimpin-pemimpin lain dalam sayap tersebut.

D Hassan juga berkata, agenda utamanya ialah untuk menghasilkan satu rangka tindakan untuk aktiviti dan strategi politik PAS negeri serta aktiviti untuk membantu parti itu membuat persediaan menjelang pilihanraya umum 2008.

ADS