Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tan Sri' cuba sogok Sultan Johor ditahan reman 5 hari
Diterbitkan:  Mar 31, 2017 11:08 AM
Dikemaskini: 8:01 AM

Seorang ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 4 April itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Suspek berumur 54 tahun itu tiba di mahkamah berkenaan dengan berpakaian lokap berwarna oren pada jam sekitar 9.30 pagi tadi.

Lelaki berusia 54 tahun tersebut ditahan SPRM selepas dia menyerah diri di ibu pejabat suruhanjaya itu semalam.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan individu yang dikaitkan dengan cubaan merasuah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyerah diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

"Siasatan sedang dijalankan," kata Azam.

Azam ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di Putrajaya sebelum itu memberitahu, SPRM memberi tempoh sehingga 12 malam semalam kepada individu yang cuba merasuah Sultan Johor itu untuk menyerah diri.

Media yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM itu tidak dapat melihat kelibat lelaki berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu menyerah diri bersendirian dan tidak ditemani peguam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain sebagai dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua perkara atau transaksi yang berkaitan kesalahan.

Dia diwakili tiga peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Datuk Joshua Kevin dan JR Tey.

Pada 25 Mac lalu, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran "Tan Sri" daripada Yang di-Pertuan Agong.

Lihat Komen
ADS