Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS dah biasa kalah selalu, menang sesekali
Diterbitkan:  Apr 1, 2017 3:37 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Berkemungkinan berdepan pertandingan lebih daripada dua penjuru, PAS tetap optimis menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengakui parti itu masih cenderung mahu mengelakkan pertandingan tiga atau lebih penjuru, mereka meletakkan harapan kepada sejarah, pengalaman dan penyokong yang ramai.

Malah kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, ada kerusi yang boleh dimenangi parti itu walaupun tanpa mendapat bantuan parti pembangkang lain.

Katanya, PAS benar-benar percaya kemenangan "di tangan Allah".

"Sebab itu Pas tidak kecewa (kalau kalah). Kalah selalu, menang sekali-sekali, tapi kita tidak keluar parti," katanya dalam temu bual disiar Sinar Harian hari ini.

Menjelang PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya suku ketiga tahun depan, PAS bakal membuat keputusan muktamad mengenai hubungan mereka dengan PKR pada muktamar ke-63 parti itu di Alor Setar akhir bulan ini.

Setakat ini parti itu masih terikat dengan tahaluf siyasi dengan PKR walaupun beberapa kawasan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah meluluskan usul supaya hubungan dengan parti berkenaan diputuskan.

Di Selangor pula, PAS dilaporkan bercadang mahu mengambil kembali kerusi yang diberikannya kepada PKR Selangor, termasuk parlimen Gombak yang kini disandang Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Hubungan antara kedua-dua parti itu juga kelihatan agak tegang baru-baru ini apabila Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz serta Azmin menggunakan media sosial untuk saling menyindir antara satu sama lain.

Belum ada kata putus

Jika PAS memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik itu, parti terbabit secara umumnya akan bersendirian menghadapi lawan mereka pada PRU ke-14 nanti.

Hubungan mereka dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang dipimpin veteran Umno dan bekas menteri, Tan Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dipercayai tidak akan memberi banyak kesan.

Pada masa sama empat parti utama pembangkang - PRK, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - ketika ini sudah bergabung dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mahfodz berkata, PAS sudah berusaha untuk meneruskan hubungan baik dengan PKR dan BERSATU.

Malah, katanya, di Johor PAS masih ada hubungan dengan PKR.

"Apabila kita ada mesyuarat, dan setiap kali PAS kawasan atau negeri mengadakan ceramah, pasti ada (wakil) PKR dijemput dan terbaru di Ledang pada 22 Februari lepas, malahan PKR diwakili (naib presidennya), Tian Chua. Di Johor, kita tidak ada masalah dengan PKR," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai pesuruhjaya PAS Johor berkata, jika boleh parti itu mahu meneruskan hubungan yang sedia ada.

Namun jika diputuskan PAS akan bersendirian nanti, kata Mahfodz, ia akan dihadapi sama ada suka atau tidak.

Sementara itu mengulas kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor, Mahfodz berkata, sebenarnya pemimpin parti itu di negeri berkenaan sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Kalau keputusan (memutuskan hubungan dengan PKR) sudah dibuat, mereka sanggup meletak jawatan.

"Memang apabila diputuskan PAS Pusat, pimpinan PAS Selangor sedia untuk meletakkan jawatan, tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa keputusan yang muktamad, jadi mereka yang jadi exco dan lain-lain menunggu sehingga ada keputusan," katanya.

Lihat Komen
ADS