Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa bawah Akta Kesalahan Kecil hantar mesej salah, kata peguam

Pemakaian Akta Kesalahan Kecil 1955 terhadap lapan orang yang didakwa menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di kawasan Parlimen pada November tahun lepas menghantar mesej yang salah, kata peguam Syahredzan Johan.

Akta Kesalahan Kecil jarang digunakan, kerana kesalahan di bawah Akta tersebut sering dilihat sebagai terlalu kecil untuk dibawa ke mahkamah, kata Syahredzan.

Walaupun jika pertuduhan dibuat, tertuduh sering hanya mengaku bersalah kerana penalti yang dikenakan adalah kecil.

Jadi di sini, kata Syahredzan, pada asasnya adalah seorang ahli Parlimen - orang yang ditugaskan untuk menggubal undang-undang dan adalah sebahagian daripada proses perundangan - diserang oleh sekumpulan orang, tetapi mereka hanya dikenakan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Kecil.

"Jadi, pada dasarnya apa yang ia nyatakan ialah ini hanyalah satu kesalahan kecil - bahawa menyerang seorang ahli Parlimen adalah satu kesalahan kecil.

"Ini tidak boleh diterima sama sekali. Ia bukan seolah-olah kita tidak mempunyai undang-undang yang boleh digunakan terhadap orang-orang ini," Syahredzan (gambar) kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam George Varughese bersetuju bahawa pertuduhan itu tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

"Pertuduhan itu dilihat tidak sepadan dengan sifat dan keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap seorang ahli Parlimen di kawasan Parlimen.

"Undang-undang alternatif yang boleh diterima pakai adalah Seksyen 124, 321 dan 339 Kanun Keseksaan," Varughese kepada Malaysiakini semalam.

Seksyen 124 mengenai menyerang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, dengan niat hendak memaksa atau menghalang apa-apa kuasa yang sah di sisi undang-undang dijalankan. Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Seksyen 321 mengenai sengaja menyebabkan kecederaan. Ia boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 339 adalah mengenai melakukan halangan salah, yang boleh dihukum penjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syahredzan mencadangkan agar tertuduh dikenakan pertuduhan sama ada di bawah Seksyen 124 atau Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Seksyen 147 adalah kerana merusuh dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sambil menekankan bahawa lapan tertuduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan mempunyai hak untuk membela diri di mahkamah, beliau berkata unsur-unsur untuk membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 147 dilihat sebagai sesuai.

Ia mungkin terlalu sukar untuk membuktikan sesuatu kes di bawah Seksyen 124, yang memerlukan pihak pendakwa membuktikan unsur-unsur lain, seperti niat.

"Antara kedua-duanya, walaupun sabitan di bawah rusuhan memperuntukkan hukuman yang lebih ringan, tetapi sekurang-kurangnya unsur-unsur itu ada, saya rasa pihak pendakwaan akan dapat membuktikan unsur-unsur itu," kata Syahredzan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS