Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salleh: Sabotaj ekonomi bukan patriotik
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 12:34 PM
Dikemaskini: 3:37 AM

Tindakan mensabotaj ekonomi dengan menakut-nakutkan pelabur asing adalah perbuatan khianat, bukan patriotisme, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Kata menteri komunikasi dan multimedia itu, ada sesetengah pihak mendakwa tindakan mereka mengkritik perdana menteri dan negara demi semangat patriotisme.

"Kebanyakan sejawaran bersetuju Adolf Hitler juga seorang patriot dan Naziisme adalah produk kepada patriotisme berkenaan. Dan 100 juta orang mati kerana ini," katanya melalui blog beliau malam tadi.

Bagaimanapun, bekas ketua menteri Sabah itu memberitahu, patriotisme sebenar ialah apa yang seseorang lakukan bukan menyerunya semata-mata.

Jika ada sesiapa mahu memperjuangkan patriotisme di Malaysia, kata Salleh, ia wajar bermula dengan semangat Negaraku dan Rukun Negara.

"Anda tidak boleh menyanggah dengan semua ini dan mengemukakan versi dan tafsiran anda sendiri," katanya.

Beliau juga menyifatkan perang di Serbia - Bosnia dan Vietnam serta Kemboja adalah kerana aksi semangat patriotisme.

"Tetapi saya yakin berjuta-juta orang yang mati (kerana krisis berkenaan) tidak menganggapnya begitu," katanya.

Sebelum ini pemimpin DAP, Lim Kit Singa, berkata beliau sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan pemimpin BN demi kepentingan negara.

Lim juga mendesak supaya suatu gerakan diadakan demi negara dan menganggapnya sebagai "demi patriotisme dan kecintaan paling tinggi kepada Malaysia".

Pemimpin pembangkang lain - termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad - juga sering menggunakan alasan patriotisme dan sayang kepada negara untuk menjustifikasi tindakan mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS