Seramai 11 pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Jemaah dihadapkan di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas tuduhan memukul rakan asrama mereka awal tahun ini.

Juvana-juvana itu daripada sekolah agama di Seksyen 11, di Shah Alam, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Afiq Abd Razak, 15.

Pelajar-pelajar itu, kesemuanya berumur 15 tahun, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik C 304 di asrama lelaki sekolah itu, pada tengah malam 31 Januari lalu.

Menurut laporan Bernama, pelajar-pelajar itu dituduh di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa C/Ins K. Nagappan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pelajar, manakala peguam Wan Razali Wan Kadir memohon kepada mahkamah supaya ikat jamin itu dikurangkan.

Majistret Suriyanilakma Abd Kadir menetapkan ikat jamin pada RM1,000 bagi setiap penuntut dan 23 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.