Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bekas pemimpin kanan PAS, Datuk Husam Musa, dilantik sebagai naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan diberi tanggungjawab besar untuk parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir, berkata Husam seorang tokoh berpengalaman dan perlu berada dalam barisan kepimpinan pusat parti berkenaan.

"Husam akan diminta mengetuai (jawatankuasa) hala tuju parti untuk pilihan raya umum akan datang dan menjadi anggota kanan biro politik," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Anuar berkata demikian pada sidang media selepas berlangsungnya Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam adalah salah seorang pembentang kertas kerja pada seminar berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Salor itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar dan setiausaha politik kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika pemimpin terbabit menjadi menteri besar Kelantan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen Kubang Krian, Kelantan.

Bagaimanapun, Husam serta ramai pemimpin beraliran sederhana dalam PAS diketepikan oleh perwakilan pada muktamar mereka yang ke-60 di Kuala Selangor pada 2015.

Menyumbang di peringkat nasional

Husam kemudiannnya dipecat PAS dan mengumumkan menyertai AMANAH pada akhir Ogos tahun lalu.

Pada sidang media tadi juga Anuar turut mengumumkan pelantikan bekas pemimpin PAS Perlis, Zolkarnain Abidin, sebagai pengarah syariah AMANAH. 

Kata Anuar, pemilihan Husam selaras dengan usul dipersetujui dalam Konvensyen Nasional AMANAH pada Disember tahun lalu bagi melengkapkan lima jawatan naib presiden parti berkenaan.

Tiga daripada jawatan itu dipilih perwakilan manakala selebihnya adalah melalui lantikan.

Kata Anuar AMANAH mengambil masa untuk mengumumkan pelantikan itu kerana menunggu persetujuan daripada Husam yang keberatan pada awalnya.

Justeru, kata Anuar, AMANAH berharap kepakaran dan pengalaman yang ada pada Husam dapat dimanfaatkan untuk Kelantan dan Malaysia.

Menurut Anuar lagi pelantikan itu juga diharap dapat mengukuhkan usaha AMANAH merampas Kelantan daripada PAS.

"Ya memang (cuba mengambil alih Kelantan) dan padam masa sama, AMANAH tidak mahu beliau hanya menyumbang di peringkat Kelantan, sebaliknya juga diperlukan di peringkat nasional," katanya.

Lihat Komen
ADS