Apa motif kehilangan 5 individu?

Syed Ibrahim Syed Noh        

ULASAN Ketika kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain belum terungkai, kini seorang lagi individu dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.

Kehilangan Peter Chong yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa disahkan anaknya, Darryl Chong pada Rabu lalu 5 April 2017. Empat individu yang dilaporkan hilang sebelum ini ialah Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis sosial di Perlis, Amri Che Mat.

Raymond Koh diculik pada 13 Februari, Amri Che Mat dilaporkan hilang pada 24 November, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth sejak 30 November dan kini Peter Chong dilaporkan hilang sejak 5 April.

Semasa saya menulis rencana ini, pihak berkuasa dilaporkan masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka berlima walaupun seorang suspek berkaitan penculikan Koh ditahan pada 9 Mac 2017.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti yang dilaporkan media pada 7 Mac 2017 menyatakan polis sedang menyiasat tiga petunjuk berhubung penculikan Raymond Koh iaitu jika ia berkaitan hal peribadi, kumpulan pelampau atau tuntutan wang tebusan.

Sementara pihak polis dilaporkan masih meneruskan siasatan bahkan meminta pihak yang tidak berkenaan termasuk media tidak membuat spekulasi terhadap kejadian culik dan kehilangan, pelbagai tanggapan berlegar di kalangan masyarakat.

Dikaitkan dengan agama

Antara sebabnya kerana kes masih belum selesai, dikatakan menemui jalan buntu dan kini sudah lima individu dikenalpasti hilang. Namun sebab yang lebih kuat berlegar ialah tanggapan bahawa kehilangan lima individu berkenaan dikaitkan dengan penglibatan mereka sebagai aktivis agama dan sosial.

Umpamanya, Raymond Koh dan NGO beliau, Harapan Komuniti didakwa memurtadkan umat Islam, susulan satu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada sebuah majlis makan malam kesyukuran pada 2011. Joshua Hilmy pula dahulunya seorang umat Islam.

Amri pula didakwa sebagai pengikut Syiah dan cuba menyebarkan mazhab Syiah kepada orang lain. Bagaimanapun, isterinya, Norhayati Ariffin telah menafikan dakwaan itu.

Peter Chong pula dikaitkan sebagai aktivis dan penyokong Raymond Koh. Beliau telah memuat naik satu status di laman Facebooknya pada 31 Mac memaklumkan seorang penunggang motosikal memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati ketika menghadiri acara solidariti untuk empat mangsa yang hilang itu.

Sedang kita mengakui bahawa sebarang spekulasi, andaian dan dakwaan yang tidak terbukti ini boleh menyukarkan siasatan malah membangkitkan polemik tidak menentu, namun kehilangan lima individu tersebut tanpa sebarang petunjuk jelas sehingga sekarang boleh menimbulkan kecurigaan dan soal jaminan keselamatan polis kepada rakyat.

Saya tidak boleh bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga mangsa yang kehilangan lima individu ini sama ada dalam keadaan sedih, resah, marah, takut atau berharap. Sudah tertentu mereka ternanti-nanti dan amat berharap lima individu itu selamat dan boleh pulang ke pangkuan keluarga.

Motif sebenar 

Namun persoalannya ialah apakah motif sebenar di sebalik kehilangan lima individu ini? Apakah ia berkait antara satu sama lain? Jika ia satu tindakan vigilante (ambil tindakan sendiri di luar undang-undang), maka ia mesti dikecam dan ditolak malah diambil tindakan segera untuk dihentikan sebelum merebak.

Dalam konteks ini, pertamanya, semua pihak perlu mengecam sebarang tindakan yang mengancam nyawa dan keselamatan sesiapa walau atas alasan apa sekalipun.

Islam melarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan malah mengutamakan perlindungan nyawa sebagai salah satu daripada tiang syariah (maqasid syariah). Kepercayaan lain juga sudah tentu menekankan prinsip perlindungan nyawa tersebut.

Kedua, jika mana-mana pihak melakukan kesalahan menurut undang-undang negara, ruang penyelesaian ialah melalui mahkamah, bukannya mengambil tindakan sendiri seperti kumpulan Vigilante.

Ini termasuk tidak menyalahgunakan kuasa dan amanah yang diberikan dalam menjaga keselamatan agama, bangsa dan negara. Prinsip keadilan dan amanah tidak boleh sama sekali dilanggar sesuka hati.

Ketiga, sementara pihak polis boleh sahaja mengingatkan rakyat supaya menghentikan sebarang spekulasi namun pihak polis juga wajar bersikap profesional, telus dan adil dalam mengendalikan kes ini untuk menangani keresahan dan kebimbangan rakyat.

Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menggesa agar pihak polis mempertingkatkan usaha untuk memastikan mereka yang diculik dapat pulang ke pangkuan keluarga manakala mereka yang mendalangi jenayah-jenayah ini dihadapkan ke mahkamah.


SYED IBRAHIM SYED NOH Ketua Penerangan PKR
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In