Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada 'tangan' BN di sebalik tangguh Dewan Rakyat

Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, menafikan parti itu berperanan dalam keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menangguhkan perbahasan mengenai rang undang-undang Akta 355 (RUU355) pada minggu lalu.

Menurut Tengku Adnan, keputusan menangguhkan sidang selepas usul persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu disokong oleh Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, dibuat sendiri oleh Pandikar.

Malah, katanya, ia juga di luar bidang kuasa perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

"Itu tugas speaker, tidak ada kena mengena dengan kita (wakil rakyat BN). Speaker telah putuskan begitu, macam itulah. Kita akur saja.

"(Penangguhan itu) bukan kuasa Datuk Seri Najib (Razak), bukan kuasa Tengku Adnan, bukan kuasa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (Hamidi). Kita tak ada kuasa," katanya kepada media selepas majlis pelancaran dan sesi cabutan undi RUMAWIP Residensi Ribunan di Putrajaya hari ini.

Tindakan Pandikar menangguhkan sidang Dewan Rakyat selepas Takiyuddin selesai berucap menyokong usul persendirian Abdul Hadi pada 6 April lalu dikecam hampir semua pembangkang.

Mereka kecewa kerana usul itu tidak dibahaskan dan terpaksa menunggu sehingga sidang akan datang yang dijangka pada akhir Julai ini.

Sesetengah pihak berpendapat tindakan menangguhkan sidang itu sudah diputuskan terlebih dulu oleh pemimpin BN. Antara hujah yang digunakan mereka ialah kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam selepas sidang itu ditangguhkan.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Pandikar sudah membuat keputusan itu dan ia tidak menyalahi peraturan tetap parlimen.

"Tak apalah, kita ikut," katanya.

Beliau juga menyeru Pakatan Harapan (HARAPAN) agar tidak terus mengelirukan rakyat dengan "memutar belit" isu tersebut.

"Jangan diputar belitkanlah, saya minta khususnya kepada pembangkang yang tak ada otak ini, tolonglah jangan putar belitkan, kelirukan rakyat.

"Jangan cipta situasi yang dia akan mencetuskan keadaan sehingga Malaysia ini akan jadi huru-hara," katanya.

Lihat Komen
ADS