Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS arah peguam saman Nanyang
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 2:42 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Nanyang Siang Pau ekoran karikatur yang didakwa menghina presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, parti itu telah melantik peguam dan turut mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil segera. 

"PAS  tidak boleh berkompromi dalam perkara yang seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. 

"Untuk itu PAS telah pun melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera," kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Selain itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, PAS memandang serius tindakan akhbar terbabit yang dilihat sengaja menyiarkan karikatur lebih daripada Abdul Hadi serta Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"PAS menganggap penyiaran tersebut dalam semua keadaan bertujuan menghina bukan saja Presiden PAS dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, malah semua umat Islam dan juga undang-undang Islam.

"Dalam hal ini, PAS juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya lagi.

Akhbar Nanyang Siang Pau pada 8 April lalu menyiarkan karikatur bertajuk 'Akta Monyet' yang memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabel sebagai 'speaker' manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai 'Hadi Awang' yang bertenggek di atas pokok 'Akta 355'.

"Hadi Awang" dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah "keledek panas", manakala "speaker" melompat dari pokok itu, sambil berkata: "Simpan untuk hari kemudian."

Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet yang bertekak di bawah pokok berkenaan.

Ekoran itu, kira-kira 100 ahli dan penyokong PAS hari ini berhimpun di luar perkarangan pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya dan turut menggesa KDN bertindak ke atas syarikat akhbar Cina itu kerana mencetuskan ketegangan agama.

Bagaimanapun, Nanyang Siang Pau semalam telah membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik karikatur itu.

"Akhbar kami bertarikh 8 April pada (bahagian) B2 menyiarkan satu komik mengenai Akta 355 dan tidak menghormati Pandikar and Hadi Awang. (Oleh itu) Nanyang dengan sepenuh hati memohon maaf kepada kedua-duanya," kata kenyataan yang dikeluarkan akhbar itu.

Kartun berkenaan juga dipadamkan daripada siaran.

Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355 pada Khamis lalu.

Lihat Komen
ADS