Seminar pemikiran Tok Guru itu apa masalahnya?

       

ULASAN | Dalam apa jua seminar yang sifatnya memperingati seseorang tokoh, apa yang menjadi fokus teras adalah mencari kekuatan yang boleh diangkat untuk diteladani.

Demikian juga dengan "Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz" anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) diadakan di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor Ahad lalu.

Dalam menimbang kekuatan itu pula, sikap mengukur dan membandingkan persamaan kekuatan di pelbagai isu mengikut tempat tegak antara Nik Abdul Aziz dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada saya adalah sikap akademik yang cemerlang.

Bahkan ia menampakkan sebuah kebijakan yang asyik.

Apa yang penting di sini adalah sikap kewarasan kedua-dua tokoh yang berkongsi sentimen menentang kezaliman. Ia dilihat cukup konsisten dalam satu tempoh yang panjang. Mereka synonymous.

Misalnya, "menolak Islam adalah kezaliman". Ini sikap arwah Tok Guru walau di mana. Ratusan kali almarhum mengulangi pendirian yakni "selagi Umno menolak Islam selagi itulah kita lawan".

Islam itu apa - jika tidak antara lainnya - sebuah agama yang amat membenci kemungkaran, komited makruf, menentang kezaliman dan menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam apa jua jelmaan dan rupa bentuk.

Hal sedemikian pun turut menonjol pada amalan dan setiap pandangan terkini Dr Mahathir lewat pelbagai isu menyentuh 1MDB, kebanjiran pendatang tanpa izin atau seputar penjualan strategik aset negara di Sungai Besi atau Forest City.

Membukti dan menemukan persamaan antara dua juring siku pemimpin ulung Malaysia yang tajam lalu mengacu sekepal tinju ke pentas terbuka bersemangatkan sistem demokrasi berparlimen - apa masalahnya?

Satu peti boleh merebak

Percubaan untuk membuktikan yang arwah Nik Aziz berada dalam krisis yang tak sudah sampai ke akhir hayat dengan Dr Mahathir bukan keutamaan Malaysia.

Apa yang utama di sini ialah sikap komited kedua-dua tokoh. Mereka istiqamah menentang pihak yang zalim yang menaja kezaliman.

Yang seorang, terbukti hingga sampai ke akhir hayat dan yang seorang lagi masih konsisten mengepalai sebuah gerakan sivil mahu menyelamatkan Malaysia daripada terus ditenggelam.

Sekali lagi: Apa masalahnya?

Mana-mana pemimpin yang bergabung dan menyatukan diri dalam bahtera besar ini adalah wira yang sedang mendapat perhatian massa.

Bagai kisah bahtera Nuh, mereka sedang memimpin sebuah armada besar. Datuk Husam Musa adalah salah seorang antara nakhoda muda yang prolifik selain dari Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Zaid Ibrahim, misalnya.

Mereka sedang gigih memindahkan api yang telah pernah sempat membara di dada Tok Guru melalui sebuah seminar yang telah berlangsung pada 9 April 2017. Apa masalahnya?

Saya percaya, semua orang tidak mahu membuang masa dalam diskusi akademik yang tersasar dan tenggelam – sibuk perlu membuktikan yang arwah Tok Guru sebetulnya berkrisis dengan Dr Mahathir mengikut catatan tarikh sekian ke sekian itu dan ini.

Jika mampu kita buktikan sekalipun, ia tidak akan mengubah senario Malaysia yang kini sedang dilanda sebuah krisis kepimpinan terburuk dan perlukan 'pembedahan' segera untuk membuang buahnya yang buruk.

Teori "bad apple" ini jangan dipandang ringan. One bad apple spoils the whole barrel. Satu peti ia boleh merebak. Satu tong ia membusuk.

Rata-rata rakyat kasihkan Malaysia. AMANAH dan gabungan Pakatan Harapan masih yakin bahawa di sana ada formula yang mampu menyelamatkan.

AMANAH sememangnya tidak ada lampu Aladin tetapi AMANAH mempunyai saf kepimpinan yang bergeliga dan komited untuk melahirkan Malaysia semula dengan wajah progresif yang lebih baru.

Jika Husam dan rakan-rakannya mampu memindahkan sehelai panji bernama hikmah dan kebijaksanaan yang pernah berkibar di dada almarhum Tok Guru suatu waktu dahulu; menjadi sebuah gelora yang menyelamatkan bahtera Negara dengan amalan good governance menjelang PRU14 ini nanti, apa masalahnya?


ANNUAL BAKRI HARON ialah bekas setiausaha politik allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda