Usaha padam legasi Nik Aziz

       

ULASAN l Seminar Pemikiran Almarhum Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat oleh Parti Amanah Negara (AMANAH telah menimbulkan pelbagai reaksi yang menghairankan dan juga menyedihkan.

Menghairankan kerana tindakkan membuat lapuran polis tidak pernah didengar dibuat dahulu kerana tiada kesalahan telah di lakukan.

Menyedihkan, kerana bagaimana suatu penghormatan besar kepada Almarhum boleh cuba dinafikan dan digagalkan.

Adakah ini tanda kecetekkan pemikiran intelek atau tanda cubaan menghilangkan pengaruh serta legasi Almarhum dari ingatan ramai?

Izinkan saya terangkan.

Beberapa minggu lalu, satu majlis ilmu yang agak sama telah diadakan bagi menghargai dan mengkaji sumbangan serta pemikiran Almarhum Datuk Dr Haron Din.

Program tersebut telah dianjurkan dan dijayakan oleh pihak kerajaan dan Umno serta tokoh dari PAS.

Rumusan pada penghujung program menyatakan pemikiran serta sumbangan Haron Din lebih dekat dan tepat dengan perjuangan PAS sebenarnya hari ini.

Perlu diingatkan Haron Din menjadi mursyidul am PAS selama lebih kurang dua tahun sahaja, sementara Nik Aziz memegang jawatan tersebut untuk lebih 20 tahun.

Politik matang PAS

Adakah ini menunjukkan seorang sehebat Almarhum Nik Aziz gagal memahami tujuan dan matlamat perjuangan PAS dalam tempoh yang begitu lama?

Keduanya, adakah memandangkan dengan konsep pendekatan kononnya "politik matang" PAS hari ini, pemikiran Nik Aziz tidak matang sebelum ini?

Ini adalah suatu pandangan yang jauh meleset menyimpang dari realiti yang telah PAS nikmati semasa Nik Aziz. PAS telah mendapat populariti dan penerimaan begitu ramai orang serta luas pengaruh semasa era Almarhum.

Legasi Nik Aziz bukan sahaja diakui dan dihargai oleh orang Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam dan antarabangsa.

Kenyataan tersebut adalah suatu penghinaan yang cuba menidakkan sumbangan besar Nik Aziz bukan hanya kepada PAS tetapi juga kepada Islam serantau, dan kepada seluruh dunia.

Nik Aziz adalah tokoh Islam bertaraf dunia. Sepatutnya tindakan yang meremehkan sumbangan Nik Aziz inilah yang patut dibantah dan dikecam oleh pimpinan PAS serta ahli keluarga Almarhum.

Sedihnya ada pula ahli keluarganya sendiri yang bediri di sebelah pemimpin Umno untuk mengangkat yang lain lebih tinggi dari Almarhum Nik Aziz kerana kepentingan politik semasa dan duniawi.

Sedihnya lagi, apabila kami dari "keluarga yang lebih luas dan besar" dari AMANAH menghargai dan menyanjung Pemikiran Nik Aziz di suatu sminar, dikecam dan dituduh bermacam-macam.

Tuduhan "jenayah intelek" terhadap AMANAH pula menunjukkan kecetekkan pemikiran serta pandangan sempit yang nyata tidak matang.

Disekat ahli PAS

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman usaha untuk memadamkan legasi Nik Aziz yang telah lama dirancang.

Saya ingin menceritakan pengalaman yang saya lalui.

Genap seminggu selepas mangkatnya Almarhum Nik Aziz pada 12 Februari, saya dipanggil oleh Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Shukhairi. Sebaik sahaja selesai solat Jumaat saya berjumpa beliau di rumah seorang AJK Pas Kuala Terengganu di Durian Burung.

"Perbincangan" yang berlangsung tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini. Sebaik sahaja mula berbual Ustaz Wan Shukhairi bertanya kenapa saya menulis suatu artikel dalam facebook saya "Mengimbas Sumbangan dan Jasa Nik Aziz"?

Saya terdiam sebeberapa ketika kerana hairan serta tergamam dengan soalan yang saya rasa agak aneh!

Penulisan saya tersebut seolah-olah satu kesalahan walaupun ia adalah pengabdian serta penghormatan saya kepada Tok Guru yang saya kagumi dan hormati.

Saya masih ingat bertanya dengan nada hairan - "Salah ke saya menulis artikel tersebut?"

Seminggu selepas mangkat Tok Guru, semasa kuburnya masih belum kering, usaha untuk memadamkan legasinya telah bermula.

Hari ini selepas dua tahun pemergian Almarhum usaha menghidupkan Majlis Ilmu Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz cuba disekat oleh ahli PAS sendiri.

Lebih sehaluan

Sumbangan Tok Guru tidak diletak di tempat yang sepatutnya tetapi diangkat pula mereka yang lain yang lebih sehaluan dengan kehendak pimpinan PAS hari ini.

Tidak lama dahulu saya berkesempatan berbincang dengan anakanda AlmarhumTok Guru Nik Aziz, iaitu Ustaz Nik Omar, selama dua jam di pejabat beliau di Pulau Melaka tentang isu ini.

Saya telah melahirkan kesedihan di hati tentang usaha hendak memadamkan legasi Tok Guru.

Pengalaman saya sendiri apabila dipanggil Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu berlaku hanya tujuh hari selepas Almarhum mangkat.

Hari ini berbagai cara yang halus dan terang terang masih diusahakan. Yang sedihnya walaupun ada usha ke arah memadamkan dari ingatan legasi Tok Guru, ada juga usaha menyekat pihak kami yang hendak membincangkan pemikiran Tok Guru.

Anehnya pula pihak yang membuat lapuran polis diatas alasan hendak menjaga "nama baik" Nik Aziz tidak pula rasa tercabar apabila sumbangan serta jasa Tok Guru tidak diberi penghormatan sepatutnya.

Lagenda agung

Malahan, dilupakan serta diketepikan, di majlis ilmu penganti beliau - Almarhum Harun Din dengan kenyataan pendekatan Haron Din yang paling hampir dengan perjuangan sebenar PAS hari ini.

Realiti sebenarnya, legasi Almarhum Nik Aziz terlalu luas pengaruhnya pada orang Islam dan juga bukan Islam.

Beliau adalah "one in a million" - permata pimpinan Islam yang boleh diterima oleh semua pihak yang telah meninggalkan legasi serta kesan yang begitu mendalam dalam hidup kami.

Tiada ugutan laporan polis atau tuduhan jenayah intelek yang boleh memadam legasi Nik Aziz yang telah terpahat begitu mendalam di hati dan sanubari masyarakat yang inginkan Islam Rahmatan LilAlamin - rahmat untuk semua.

Sejarah tidak boleh menafikan, PAS berada di kemuncak penerimaan masyarakat umum semasa Almarhum Nik Aziz yang mengharumkan persada politik Islam sebenar di negara Malaysia.

Legasi Almarhum Tok Guru Nik Aziz tidak mungkin boleh dipadamkan dari hati orang Islam dan juga bukan Islam.

Almarhum adalah lagenda yang agung.


RAJA BAHRIN SHAH adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu dari AMANAH.

Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda