Syarikat NatSeven TV Sdn Bhd, pengendali stesen televisyen ntv7 mungkin berpindah tangan kepada Media Prima Bhd (Media Prima) yang mengendalikan TV3.

Kemungkinan ini berdasarkan laporan bahawa kedua pihak telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk melaksanakan skim penyusunan semula hutang dan korporat serta mengenal pasti kerjasama strategik.

Utusan Malaysia melaporkan, Media Prima dalam kenyataannya berkata, pihaknya mempunyai opsyen eksklusif untuk menerokai kemungkinan membuat pelaburan atau pemilikan dalam ntv7 dan stesen radio WowFM, mengikut syarat yang dipersetuji bersama.

Media Prima syarikat pegangan yang mempunyai tiga saluran televisyen percuma, saluran radio dan penerbitan akhbar akan mengenal pasti bidang untuk mewujudkan kerjasama dan pakatan strategik.

Selain NatSeven TV, perjanjian kerjasama dan bantuan juga melibatkan di bawahnya seperti Synchrosound Studios dan Questseven Dotcom Sdn. Bhd yang memegang lesen WowFM, menurut akhbar itu lagi.

Kuasai 9% penonton

"Kerjasama itu membolehkan kedua-dua kumpulan mengenal pasti bidang yang boleh diterokai bersama anak syarikat penyiaran, TV3 dan 8TV dengan ntv7," kata kenyataan itu lagi.

Kedua-dua pihak melalui perjanjian tersebut akan berkerjasama dalam meningkatkan penguasaan perbelanjaan pengiklanan TV demi kepentingan industri itu, kata Media Prima.

Kira-kira sebulan lalu, Media Prima mengumumkan mereka telah membeli CH-9 Media Sdn. Bhd dengan harga RM41.44 juta.

Media Prima juga kini menguasai pasaran pengiklanan televisyen dan syarikat itu menguasai New Straits Times (M) Bhd (NSTP).

Ntv7 dikuasai oleh bekas Menteri Pertanian yang juga ahli perniagaan dari Sarawak, Datuk Sei Mohd Effendi Norwawi. Stesen ntv7 dilancarkan pada April 1998 menguasai sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan penonton dan kira-kira 30 peratus pasaran perbelanjaan pengiklanan televisyen.