Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNM benar pelabur, penerbit laksana jualan singkat sekuriti k'jaan M'sia
Diterbitkan:  Apr 14, 2017 8:50 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Kawal aturan jualan singkat Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) akan diperluaskan kepada semua peserta pasaran termasuk entiti pemastautin seperti pelabur dan penerbit, berkuat kuasa 2 Mei 2017.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan mudah tunai dalam pasaran bon tempatan.

"Ini merupakan kaedan pengurusan risiko yang boleh digunakan secara berkesan oleh pelabur, dan pada masa sama menambah mudah tunai dalam pasaran bon.

"Ia akan memberi kesan limpahan kepada pasaran repo dan pasaran lain, apabila mudah tunai memperoleh manfaat daripada kefleksibelan yang diberikan kepada MGS," katanya semasa taklimat media mengenai usaha pembangunan pasaran kewangan dalam negara Malaysia semalam.

Mengikut rangka kerja semasa, ia hanya membenarkan bank berlesen dan bank pelaburan berlesen mengendalikan jualan singkat MGS terkawal itu.

Adnan Zaylani berkata, bank pusat akan mengeluarkan garis panduan berkaitan rangka kerja yang ditambah baik tersebut kepada peserta pasaran hari ini supaya mereka boleh bersedia sebelum tarikh pelaksanaan.

Beliau berkata, BNM juga akan mengeluarkan kertas konsep mengenai tujuan penyertaan instrumen patuh syariah, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), sebagai sekuriti yang layak di bawah rangka kerja jualan singkat terkawal untuk peserta industri kewangan.

Maklum balas mengenai kertas konsep berkenaan akan dikumpulkan sebelum 28 April ini, katanya.

"Jika kami dapati tiada sebarang isu besar untuk merangkumkan MGII sebagai sekuriti yang layak, maka ia berkemungkinan boleh (dimasukkan sekali untuk pelaksanaan) pada 2 Mei," katanya.

Justeru itu, BNM menyemak semula dan menambah baik kod amalan pasaran kewangan borong Malaysia dengan pengenalan lima prinsip universal bagi memastikan integriti dalam pasaran kewangan yang saksama dan berkesan.

Lima prinsip itu adalah profesionalisme dan integriti; ketelusan dan kebertanggungjawaban; persekitaran kompetitif; tadbir urus dan struktur dalaman yang baik; serta pematuhan terhadap peraturan dan pengawalseliaan.

Kesemua prinsip baharu itu, antara lain, memerlukan peserta pasaran bukan hanya menunjukkan tahap kepakaran dan pengetahuan mengenai kawal aturan, kod, dan peraturan yang terpakai dalam profesion mereka sahaja, malah tahap ketelusan dan pelaporan yang tinggi bagi tujuan pemantauan, pengawasan dan mendapatkan data.

Dalam usaha memperkemaskan rangka kerja lindung nilai pertukaran mata wang asing, Adnan Zaylani berkata, pelabur institusi kini dibenarkan untuk melindung nilai dedahan dan mengurus asas aset mereka secara aktif sehingga 100 peratus berbanding 25 peratus ketika ini.

Peserta yang layak di bawah kefleksibelan ini juga telah diperluaskan termasuk syarikat yang memiliki mata wang asing atau asas aset ringgit yang layak, katanya.

Sebagai tambahan, bank pusat akan menambah tiga lagi mata wang utama - pound Britain, euro dan yen Jepun -- untuk transaksi lindung nilai ke atas ringgit, selain dolar Amerika Syarikat dan renminbi China.

Dalam perkembangan lain, Adnan Zaylani berkata, BNM akan menaik taraf Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dalam usaha mempertingkatkan ketelusan dan memudahkan pengawasan dalam pasaran kewangan secara lebih baik.

Beliau berkata, langkah tersebut juga akan membolehkan data menyeluruh diperolehi daripada semua transaksi sekuriti dan baki pelaburan untuk semua pelabur dalam pasaran bon tempatan.

"Sebaik sahaja ia dinaik taraf, rangka kerja pasaran bon keseluruhan akan merangkumi daripada sistem secara langsung dan dalam waktu sebenar yang akan membolehkan kami mengawasi transaksi serta pihak pemilik dan pengawal pelaburan dalam pasaran bon," katanya.

Beliau berkata, langkah menaik taraf sistem baharu itu akan mengambil masa selama 18 bulan.

RENTAS merupakan sistem penyelesaian kasar masa sebenar bagi pemindahan dan penyelesaian dana antara bank dalam denominasi ringgit bernilai tinggi serta transaksi sekuriti tanpa skrip.

- Bernama

Lihat Komen
ADS