Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak ke bengong tuan-tuan, ini zaman fitnah'
Diterbitkan:  Apr 14, 2017 6:44 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pelik dengan sikap pihak yang lebih percaya sumber luar berbanding pemimpin parti itu sendiri.

Mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Tuan Ibrahim berkata, beliau hadir kesemua mesyuarat PAS dan beliau sudah pasti tahu jika benar parti itu menerima dana 1MDB daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Kita (saya) duduk dalam mesyuarat PAS Pusat, Mesyuarat harian PAS Pusat, Mesyuarat Syura pun saya terlibat, semua mesyuarat politik saya terlibat, kalau parti terima dana luar saya mesti tahu.

“Tapi yang pelik, kita masuk mesyuarat beritahu orang, tapi orang tak percaya, orang yang tak masuk mesyuarat itu orang percaya.

“Tak ke bengong tuan-tuan, ini zaman fitnah,” kata Tuan Ibrahim dalam ceramahnya Kuala Terengganu malam tadi yang rakamannya dimuat naik oleh Terengganukini.

Rafizi mendakwa bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa menerima dana dari 1MDB. Nasharudin menafikan dakwaan itu dan berkata beliau difitnah, di samping menyifatkan dakwaan itu berniat jahat.

Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam ceramahnya turut membidas tuduhan itu yang disifatkannya sebagai kerja ‘kaki fitnah’.

“Tak akan orang tuduh pun dengan tuduhan kita nak percaya terus, pakcik nak ke mana, aku nak keluar PAS, pasal apa, pasal PAS dapat sumbangan RM90 juta.

“Memang kerja kaki fitnah ni kerja dia begitu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, dakwaan Rafizi itu langsung tidak mengejutkannya memandangkan Nasharudin tidak lagi aktif dengan PAS sejak 2011.

Tuan Ibrahim berkata, Nasharudin kini memimpin Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), yayasan yang diilhamkan oleh Najib tidak pernah memberikan sebarang sumbangan kepada PAS.

“Nasharudin bekas pimpinan PAS, betul, tapi dia telah tidak bersama dengan PAS sejak tahun 2011, tak pernah hadir sebarang program bersama PAS.

“Kita pun tahu bagaimana kita tahu dia ini dilantik mengetuai satu GLC syarikat kesederhanaan global yang terus bawah perdana menteri.

“Itu urusan dia tak ada kena mengena dengan PAS dan PAS tak pernah dapat sebarang sumbangan dari beliau,” katanya.

Lihat Komen
ADS