Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP bidas jawapan satu perenggan menteri
Diterbitkan:  Apr 16, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Anggota parlimen pembangkang membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kerana memberi jawapan satu perenggan berhubung soalan parlimen mengenai siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd.

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berkata ini kerana siasatan kes membabitkan bekas anak syarikat 1MDB itu sedang dijalankan di seluruh dunia.

"Ada beberapa negara yang sedang memantau dan telah mengambil langkah untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.

"SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB, yang didakwa telah memindahkan RM42 juta ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Namun, Paul Low, hanya memberikan jawapan satu perenggan mengenai syarikat itu di Parlimen.

"Apakah fungsi sebenar Low dan tugasnya dalam kabinet, selain memberi jawapan satu perenggan mengenai 'saudara jauh' beliau Jho Low dan bosnya, Najib?" Soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Low dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiapkan siasatan ke atas SRC, tanpa memberikan sebarang penjelasan atau butiran lanjut mengenai hasil siasatan.

Lim bertanya sama ada SPRM masih cuba mengesan tiga individu - Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, Pengarah SRC International Sdn bhd, Datuk Suboh Md Yassin dan ahli perniagaan Jho Low - yang dikaitkan dengan siasatan SRC sejak Ogos 2015.

"Bolehkah Paul Low memberi beberapa penjelasan kepada rakyat - yang membayarnya gaji lima angka setiap bulan dan memberikan kepadanya seorang pemandu - apa kejayaan telah dicapai untuk negara ini sejak beliau dilantik dalam kabinet Najib pada 2013 dan ditugaskan untuk hal-hal pentadbiran dan integriti?

"Jika dia tidak boleh atau enggan berbuat demikian, apa integriti yang 'menteri integriti' ini ada?" Soal Lim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS