Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal tanah: Datuk Seri, anak bebas tahanan reman

Seorang penasihat sebuah syarikat pemaju harta tanah bergelar Datuk Seri dan anaknya bergelar Datuk, yang disiasat bagi kes skandal tanah di Pulau Pinang, dibebaskan dari tahanan reman hari ini.

Pendaftar Kanan Tertinggi Mahkamah Sesyen dan Majistret George Town Ahmad Tajudin Zain membenarkan penasihat berusia 74 tahun itu dan anaknya, 47, yang juga pengarah syarikat, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, prosiding hari ini dijalankan di sebuah hospital swasta kerana penasihat berkenaan dimasukkan ke situ akibat mengalami tekanan darah tinggi pada Jumaat lepas.

Terdahulu, anak lelaki penasihat itu dibawa dari bangunan SPRM ke hospital berkenaan kira-kira 10.50 pagi tadi dan keluar dari bangunan hospital itu sejam kemudian.

Ahmad Tajudin tiba di hospital itu pada 11.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan SPRM sebelum ini, dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan skandal tanah yang melibatkan sebuah yayasan berkepentingan Bumiputera di Pulau Pinang.

Mereka dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga asal.

Selain itu, perbuatan kedua-dua beranak itu juga dipercayai telah mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan berkepentingan Bumiputera di negeri itu sejak beberapa tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS