Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jadikan rasuah, salah guna kuasa musuh no 1 negara
Diterbitkan:  Apr 17, 2017 6:47 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Jadikan rasuah dan amalan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara - itu gesaan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Permintaan itu dibuat selepas pegawai tertinggi agensi antirasuah negara itu mengadakan perjumpaan dengan anggota Dewan Negara di parlimen hari ini.

Ia turut dihadiri Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri S A Vigneswaran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata martabat negara boleh jatuh pada mata dunia jika setiap kejadian di negara ini berkaitan rapat dengan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Merujuk kepada pelbagai isu seperti penyalahgunaan dadah, kebolosan warga asing, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, masalah persempadanan, keganasan, perjudian dan pelacuran yang makin berleluasa, Dzulkifli berkata, ia wujud kerana adanya amalan rasuah serta salah guna kuasa.

"Salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah guna kuasa terus wujud adalah kerana agensi-agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka," katanya.

Justeru, Dzulkifli berkata, kerajaan perlu mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh paling utama negara.

Katanya, keberanian dan sokongan anggota Dewan Negara diperlukan untuk bersama-sama SPRM menggesa matlamat itu tercapai.

"Sudah tiba masanya bagi semua pihak bersama-sama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama," katanya melalui kenyataan media dikeluarkan SPRM hari ini.

Lihat Komen
ADS