Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: JK Pusat akan putuskan tahaluf siyasi PAS-PKR
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 10:24 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Jawatankuasa Pusat PAS akan membuat keputusan muktamad sama ada parti itu akan terus bersama pentadbiran kerajaan negeri di Selangor sekiranya, muktamar pada akhir bulan ini meluluskan usul untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, kata naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Ada dua perkara, pertama seandainya usul ini diluluskan, ia akan masuk ke peringkat kedua iaitu pelaksanaan. Jawatankuasa Pusat PAS yang akan tentukan sama terus dilaksanakan atau tidak. Itu bergantung.

“Perkara itu bukan terus dimuktamad apabila diputuskan pada muktamar. Ada tempohnya dan biasanya Jawatankuasa Pusat PAS yang buat keputusan, melihat kepada suasana dan maslahah,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Menjelang muktamar ke-63 PAS di Alor Setar, Kedah akhir April ini, beberapa kawasan - di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Untuk rekod, kerajaan Selangor dapat dibentuk melalui penguasaan kerusi PKR, DAP, AMANAH dan PAS.

Pada PRU 2013 lalu, pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerajaan negeri apabila menang 44 daripada 56 kerusi di DUN Selangor.

Lebih rileks, tenang

DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, manakala PKR berjaya mendapat 14. BN kekal sebagai pembangkang dengan memperolehi 12 kerusi.

Bagaimanapun, bermula dengan keretakan hubungan selepas PRU-13, PAS akhirnya meninggalkan rakan gabungan mereka.

Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 2015 pula menyaksikan sebahagian daripada pimpinan parti itu yang cenderung mempertahankan Pakatan Rakyat disingkirkan oleh perwakilan.

Mereka - diketuai bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu - menubuhkan organisasi baru dikenali sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mengulas lanjut, muktamar kali ini, Mohd Amar menjangkakan muktamar kali ini lebih rileks dan tenang berbanding muktamar dua tahun lalu.

“Dulu, sewaktu pemilihan kita lihat suasananya jauh lebih panas dan agak tegang, di mana keluarnya rakan-rakan kita dalam parti.

“Kali ini, saya jangkakan perbincangan yang panas menyentuh soal tahaluf siyasi antara PAS dan PKR yang menjadi fokus perwakilan,” katanya yang dipetik portal itu lagi.

Keahlian semakin bertambah

Menurut Mohd Amar yang juga adalah timbalan menteri besar Kelantan, berbeza dengan pandangan umum, keahlian PAS semakin bertambah.

Justeru, beliau berharap perwakilan juga dapat menggembleng tenaga untuk mengukuhkan parti dan meningkatkan kemampuan berdepan dengan BN.

“Kita terima kemasukan ahli yang ramai, pada bulan ini sahaja 7,000 ahli baru yang diluluskan dan pada bulan sebelum ini, PAS mencatatkan 5,000 keahlian baru.

“Ini menunjukkan perkembangan pesat terhadap PAS dan PAS juga berjaya menarik minat golongan muda menyertai parti ini.

“Digambarkan orang muda tidak berminat dengan PAS tetapi kita tengok sebaliknya,” katanya.

Lihat Komen
ADS