'Masalah BERSATU biar BERSATU selesaikan'

Zulaikha Zulkifli        

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyerahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan akan terus bergerak ke hadapan memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

"Kita harus bergerak ke hadapan sebab kita percaya pilihan raya semakin hampir.

"Apa yang cikgu Kamarul (Azman Habibur Rahman) lakukan tiada kaitan dengan Pakatan Harapan.

“Jadi kita biarkan BERSATU selesaikan masalah dalaman mereka," katanya pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Beliau mengulas soalan sama ada tindakan salah seorang pengasas BERSATU, Kamarulazman Habibur Rahman keluar parti semalam menjejaskan HARAPAN.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Kamarulazman umum keluar parti dan meletakkan semua jawatan yang disandangnya.

Keputusan itu diambil kerana Kamarulazman mendakwa beliau kecewa dengan hala tuju parti yang dilihat terpesong serta masalah dalaman yang melanda.

Selain itu, Salahuddin memberitahu, pihaknya mempunyai pelbagai agenda lain untuk dibincangkan berbanding isu dalaman BERSATU, seperti Buku Jingga 2.0.

Katanya, Buku Jingga 2.0 akan diperbaharui antaranya dengan mengambil serba sedikit manifesto daripada Buku Jingga pilihan raya umum ke-13 memandangkan terdapat manifesto yang masih relevan.

"Tawaran itu masih relevan sebagai contoh nak beri pendidikan pecuma, semak semula tol dan beri insentif pada wanita tak bekerja.

"Saya sebagai pemimpin AMANAH dan anggota Majlis Presiden Pakatan yakin, inilah yang sangat ditunggu rakyat," katanya lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In