Exco: K'jaan S'gor tak terima dana persekutuan sejak 2008

   

Tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas, hampir tidak mempunyai kesan di Selangor.

Exco Selangor yang bertanggungjawab bagi portfolio kerajaan tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, ini kerana kerajaan negeri tidak menerima dana persekutuan sejak tahun 2008.

Beliau berkata dana persekutuan sebaliknya disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU)

"(Oleh itu) di negeri-negeri BN, kerajaan tempatan akan menerima bantuan kewangan daripada persekutuan.

"(Tetapi) bagi negeri-negeri pembangkang, ICU akan melaksanakan projek-projek persekutuan, bukan kerajaan tempatan," katanya kepada Malaysiakini.

ADUN Seri Kembangan itu berkata sebahagian besar projek-projek infrastruktur dibiayai dengan dana kerajaan negeri.

"Kita tidak tahu berapa banyak projek persekutuan di Selangor kerana mereka tidak berkongsi data dengan kami," katanya.

Mengikut pekeliling oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, yang bertarikh 17 Mac, semua projek BP 1 yang merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas diarahkan suapaya dibatalkan.

Pemimpin DAP itu berkata, kerajaan Selangor tidak menerima surat berkenaan, tetapi beliau telah melihat ia diedarkan sejak bulan lalu.

Walau bagaimanapun, exco Pulau Pinang Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio kerajaan tempatan Chow Kon Yeow mengesahkan pihaknya menerima surat itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar adalah juga Pengerusi BN Selangor.

Selangor jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 dan Pakatan Rakyat terus kuasa di negeri yang kaya dengan pelbagai sumber itu dalam pilihan raya 2013.

Malaysiakini telah menghubungi Noh untuk mendapatkan ulasannya.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In