Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mufti Perlis dapat jenglot
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 4:15 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Menjadi kebiasan bagi seseorang tokoh menerima hadiah atau cenderahati dengan pelbagai rupa daripada masyarakat.

Bagi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, beliau menerima 'hadiah' yang unik - seekor jenglot.

Kata beliau, jenglot itu - yang dilihat berbentuk aneh dan menyeramkan - berasal dari negara luar.

"Beberapa hari yang lepas ada pihak memberikan saya 'seekor jenglot' yang berasal dari negara seberang," katanya di Facebook hari ini.

Menurut Mohd Asri, objek berkenaan dikaitkan dengan banyak cerita aneh, berunsur ghai dan misteri.

Malah kata beliau seseorang yang terpengaruh dengan amalan sihir dan syirik sanggup mendapatkan jenglot berkenaan walaupun pada harga yang mahal.

"Kita semua berlindung dengan Allah daripada amalan syirik, sihir, syaitan dan segala kejahatan apa sahaja makhluk yang wujud. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segalanya," kata beliau.

Mengikut kepercayaan sesetengah orang, jenglot adalah makhluk halus yang hidup walaupun pada kebanyakan masa ia kelihatan kaku pada pandangan mata kasar.

Ada banyak bentuk jenglot tetapi antara ciri persamaannya ialah ia dilihat berambut dan berkuku panjang dan seolah-olah manusia kerdil.

Kononnya asal usul jenglot adalah manusia silam yang meninggal dunia namun jasadnya tidak diterima bumi kerana sebab tertentu, biasanya kerana melakukan dosa besar.

Sesetengah orang percaya ia boleh dipelihara - dengan syarat-syarat tertentu - dan sedia mengikuti perintah tuannya.

Objek didakwa jenglot pernah dipamerkan di beberapa muzium beberapa tahun lalu.

Kata Mohd Asri, sebahagian darippada cerita syaitan dan jin itu hanyalah tokok tambah dan khurafat semata-mata.

Tidak seperti orang lain yang mungkin menyimpan atau membuang jenglot mufti itu menyerahkan kotak yang diterimanya itu kepada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) pagi tadi.

Tujuannya - supaya ia dapat dikaji secara saintifik oleh pusat pengajian tinggi berkenaan.

"Pagi ini saya telah serahkan jenglot itu kepada pihak Unimap untuk dimasukkan ke dalam makmal kajian secara saintifik.

"Semoga dengan itu kita akan dapat mengetahui apakah (kebenaran) di sebalik dakwaan yang pelbagai itu.

"Sebelum pihak Universiti Sains Malaysia pernah membuat kajian ke atas bahan jenglot. Harap kajian Unimap lebih lengkap," katanya.

Mohd Asri bagaimanapun tidak menyatakan daripada siapa atau bagaimana jenglot itu diserahkan kepadanya.

Lihat Komen
ADS