'Sumpahan' minyak jana ledakan inflasi M'sia

Amran Ahmad        

ULASAN Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan sebagai berkata, bagi harga bahan api, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana amat bergantung kepada pergerakan harga minyak global.

Pada masa yang sama, beliau mengakui kadar inflasi bulan Mac 2017 meledak kepada 5.1 peratus, tertinggi dalam tempoh lapan tahun disebabkan kesan daripada harga bahan api.

Ia secara jelas memaparkan cubaan lepas tangan oleh kerajaan dalam membendung peningkatan kadar inflasi atau dalam bahasa lebih mudah, kenaikan harga barang ekoran lonjakan harga minyak di peringkat global.

"Ia amat bergantung kepada pergerakan harga minyak global dan tidak banyak yang kerajaan boleh lakukan. Apa-apa peningkatan yang ketara boleh menyebabkan inflasi teras meningkat," katanya.

Apapun, kerajaan akan terus memantau harga barang-barang komponen inflasi yang lain di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, tambah Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa.

Lonjakan harga minyak global

Pada tengahari hari ini, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berlegar-legar di paras AS$51.01 setong manakala minyak mentah Brent juga meningkat kepada AS$53.15 setong, menurut laman oilprice.com.

Beberapa laporan sebelum ini pernah menyebut bahawa harga minyak mentah global akan meningkat tidak lama lagi sehingga kembali ke paras sekitar $AS60 setong sebelum zaman 'kegawatan' produk petroleum itu sebelum ini.

Memetik Pakar Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto yang pernah berkata, harga minyak mentah global akan mengalami pemulihan dengan menjana trend meningkat dalam masa terdekat.

"Harga minyak dijangka pulih dan meningkat sehingga US$65 (US$1 = RM4.43) setong tahun ini, disokong oleh pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC," katanya pada taklimat mengenai Prospek Ekonomi 2017, pada bulan Februari yang lalu.

Jangkaan Wiranto itu turut disokong oleh Pakar Strategi FX Asia Standard Chartered Global Research Divya Devesh yang turut mengunjurkan harga minyak minyak mentah naik kepada US$70 setong.

Devesh berkata, bank yakin terhadap kenaikan harga minyak dan ini akan menyokong ringgit.

Dengan mengambil kira pandangan-pandangan pakar itu, maka harga minyak mentah global akan meningkat yang bakal disusuli dengan kenaikan harga minyak mingguan di peringkat tempatan.

Minyak peringkat tempatan

Untuk rekod, harga runcit RON95 dan bahan api RON97 naik untuk minggu ketiga berturut-turut sejak pengenalan mekanisme harga siling bahan api mingguan pada bulan lalu.

Kini, seliter harga runcit RON95 akan naik tiga sen manakala RON97 akan naik dua sen dan menyaksikan harga RON95 menjadi RM2.27 seliter dan RON97 naik kepada RM2.54 seliter.

Diesel pula dijual pada RM2.21 seliter, peningkatan sebanyak lima sen dan ia adalah peningkatan kedua berturut-turut untuk diesel.

Secara logiknya, apabila harga minyak mingguan tempatan naik, maka ia secara langsung akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.

Adalah sangat mudah untuk memahami bahawa apabila harga barangan naik, maka pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income) atau dalam bahasa mudah kemampuan berbelanja rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana akan semakin berkurangan.

Kenaikan harga barang, perkhidmatan

Rakyat makin sengsara, derita dengan kenaikan harga barang ini apabila ini berlaku kerana paras pendapatan kekal sama pada setiap bulan sementara keperluan sampingan termasuk kecemasan harus dipenuhi.

Justeru, boleh disimpulkan bahawa kenaikan harga minyak global yang menjurus kepada peningkatan harga minyak tempatan akan menyebabkan keluh-kesah rakyat terutama yang berkeluarga semakin membebankan.

Sebaliknya, berbanding situasi rakyat, negara semakin bertambah kaya kerana kerajaan menjana untung tambahan hasil jualan minyak yang dikeluarkan oleh negara ini yang boleh dijual pada harga lebih tinggi.

Walaupun nilai ringgit belum pulih dan berada di paras RM4.40 bagi setiap dolar AS buat masa ini, firma petroleum milik negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menjana nilai jualan yang lebih tinggi dan mampu membayar dividen lebih banyak kepada kerajaan.

Di samping itu, kerajaan juga 'menikmati' tambahan pendapatan lebih RM30 bilion hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berpandukan kepada harga runcit yang lebih mahal jika harga dinaikkan.

Ternyata, walaupun hasil pendapatan negara meningkat, yang menjadi mangsa ialah rakyat biasa yang makin terhimpit dengan kos sara hidup yang lebih tinggi ekoran pelaksanaan mekanisme apungan harga siling bahan api mingguan.

Ledakan inflasi masa depan

Ini secara jelas menunjukkan kegagalan menguruskan ekonomi dengan kerajaan terus mendahulukan rakyat dalam berkongsi kepayahan tetapi mengutamakan kantung sendiri dalam menguruskan pendapatan hasil penjualan minyak di peringkat global dan tempatan.

Ledakan kadar inflasi akan terus meluap-luap ke paras yang tidak boleh dibayangkan jika sistem sekarang terus diguna pakai dan subsidi bahan api seperti yang pernah diamalkan oleh negara tidak dikembalikan.

Maka eloklah, parti-parti pembangkang di negara ini menumpukan kepada isu kenaikan harga barang akibat kegagalan menguruskan ekonomi berteraskan rakyat oleh kerajaan sedia ada jika mahu memenangi pilihan raya umum ke-14 yang dijangka tidak lama lagi.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In