'Pilih kasih tak wujud dalam BERSATU'

   

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Shahruddin Md Salleh menafikan wujudnya amalan pilih kasih dalam pelantikan ketua-ketua penaja bahagian parti itu.

"Berhubung dakwaan Kamarulazman (Habibur Rahman) bahawa wujud amalan pilih kasih dalam pelantikan ketua-ketua penaja bahagian BERSATU yang menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan parti, BERSATU menafikan dakwaan ini.

"Pelantikan dibuat secara rundingan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam menggerakkan parti di peringkat akar umbi berlandaskan prinsip musyawarah.

"Ini memandangkan terdapat ramai pihak yang berminat dan bersedia untuk menerajui pimpinan peringkat bahagian PPBM di seluruh negara dan kata sepakat perlu dicapai sebelum pelantikan dibuat," kata beliau dalam kenyataan.

Dua hari yang lalu, Kamarulazman yang adalah antara pengasas BERSATU dan ahli majlis pemimpin tertinggi parti itu mengumumkan keluar parti.

Beliau juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha kerja BERSATU, ketua penaja bahagian Teluk Kemang dan  menolak tawaran sebagai pengerusi perhubungan BERSATU Negeri Sembilan.

Kamarulazman juga meletak jawatan sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi BERSATU.

Banyak faktor

Mengulas lanjut, Shahruddin berkata, pucuk pimpinan BERSATU sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam lantikan ketua-ketua penaja bahagian dengan mengambil kira banyak faktor.

Antaranya ialah sumbangan seseorang calon yang hendak dilantik, pengalaman, bakat kepimpinan dan penerimaan oleh masyarakat setempat, katanya.

Setakat ini, sebahagian besar ketua penaja bahagian BERSATU telah dilantik dan hanya beberapa bahagian sahaja yang memerlukan rundingan lanjut dengan beberapa pihak di akar umbi, ujarnya.

"Kamarulazman sendiri dilantik sebagai ketua penaja BERSATU bahagian Teluk Kemang setelah rundingan lanjut dibuat dengan pelbagai pihak di akar umbi.

"Pelantikan tersebut dibuat setelah pucuk pimpinan mengambil kira faktor sumbangan beliau kepada parti dan penerimaan oleh ahli-ahli parti," jelasnya.

BERSATU masih di peringkat penajaan dan pastinya memerlukan sedikit masa untuk mantap, tambahnya.

"Walaupun masih di peringkat awal, saya bersyukur kerana sambutan rakyat terhadap BERSATU amat memberangsangkan dan telah banyak kejayaan yang ditempa oleh parti.

"Sebagai sebuah parti baharu, BERSATU tentunya amat mengharapkan sokongan dan dokongan rakyat, terutamanya para ahli dan penggerak parti untuk bersama-sama memperkukuhkan parti dan memberikan fokus kepada gerak kerja untuk memenangi PRU14," menurutnya.

Dalam pada itu, kata Shahruddin, BERSATU merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli dan penggerak parti yang terus setia kepada parti dan bersedia untuk mengharungi segala cabaran demi meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia.

"Kepada Kamarulazman, saya bagi pihak pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau selama ini serta mendoakan yang terbaik bagi masa hadapan.

Mengenai peletakan jawatan dan pengumuman keluar parti melalui siaran media oleh Kamarulazman, katanya, menurut fasal 10.2.2 Perlembagaan BERSATU, ahli yang mengisytiharkan keluar parti terlucut keahliannya secara serta-merta.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In