Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Kadar inflasi utama Malaysia mencecah 5.1 peratus pada Mac 2017 sepertimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.

Sememangnya kadar inflasi nasional mencecah paras tertinggi sejak 8 tahun terdahulu.

Lim Guan Eng pantas menyalahkan kerajaan dengan mengatakan bahawa:

1. Kadar inflasi tinggi disebabkan oleh kerajaan autokratik dan rasuah yang tiada akauntabiliti dan ketelusan di dalam pengurusan kewangan.

2. Inflasi adalah tinggi pada tahun 1998 dan 2008 semasa Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global.

3. Inflasi memberi kesan lebih banyak kepada mereka yang berpendapatan rendah berbanding yang berpendapatan tinggi.

Pertama sekali, kadar inflasi yang tinggi pada Mac 2017 adalah disebabkan kesan asas yang rendah seperti mana dijelaskan oleh Jabatan Perangkaan Negara.

Kadar inflasi pengangkutan pada Mac 2016 jatuh sejumlah -8.2 peratus apabila harga RON95 menjunam sehingga kepada harga RM1.60 setiap liter.

Pada Mac 2017, harga RON95 meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM2.29 setiap liter. Ini adalah sebab utama kenapa kadar inflasi meningkat sejumlah 5.1 peratus.

Krisis ekonomi terdahulu

Inflasi melonjak tinggi pada tahun 1998 kerana penyusutan ringgit yang mendadak yang meningkatkan kos barangan import meningkat seperti makanan.

Kerajaan, pada masa itu, terpaksa meningkatkan harga siling bagi minyak masak, ayam, tepung, gula, dan susu sebanyak 5 hingga 20 peratus untuk mengurangkan kesan ke atas kenaikan kos import barangan tersebut.

Pada tahun 2008, kerajaan tidak menghadapi kegawatan ekonomi. Ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar 4.8 peratus pada tahun 2008.

Kadar inflasi tinggi pada tahun tersebut kerana kenaikan mendadak harga minyak mentah antarabangsa sehingga mencecah AS$140 setong yang kemudiannya menyebabkan harga runcit petrol dan diesel dinaikkan oleh kerajaan.

Kadar inflasi yang tinggi tidak semestinya hanya berlaku semasa sesebuah ekonomi mengalami kegawatan atau krisis.

Kadar inflasi tinggi

Malaysia pernah mencatatkan kadar inflasi yang tinggi pada tahun 1980, 1981, 1982 dan 1992 di mana ekonomi bertumbuh pada kadar masing-masing 6.7 peratus, 9.7 peratus, 5.8 peratus dan 4.7 peratus.

Kadar inflasi juga kebiasaannya menurun semasa krisis ekonomi atau kewangan berlaku. Pada tahun 1985 dan 1986 semasa ekonomi Malayisa mencatatkan pertumbuhan negatif, kadar inflasi dicatatkan pada hanya 0.3 peratus dan 0.7 peratus masing-masing.

Pada 2009 semasa ekonomi Malaysia menguncup sejumlah 1.5 peratus kadar inflasi dicatatkan hanya 0.6 peratus.

Ini adalah kerana semasa kegawatan ekonomi, pengguna akan mengurangkan perbelanjaan dan penggunaan swasta akan berkurang.

Untuk pengetahuan anda, kadar inflasi bagi kumpulan yang berpendapatan di bawah RM3,000 adalah 4.7 peratus pada Mac 2017 berbanding kadar inflasi nasional 5.1 peratus.

Ini adalah kerana mereka yang di dalam kumpulan berpendapatan rendah membelanjakan lebih banyak wang mereka untuk barangan asas yang kebanyakannya dikawal oleh kerajaan.

Kumpulan ini juga menerima bantuan kerajaan dalam bentuk pindahan tunai seperti BR1M untuk menampung kenaikan/perbezaan harga barangan.

Kadar inflasi utama terkesan dengan kenaikan dan penurunan harga barangan dalam kategori tenaga dan makanan.

Perangka dasar seperti Bank Negara Malaysia memantau kadar inflasi teras yang stabil pada kadar 2.5 peratus.

Kadar inflasi teras dikira daripada harga indeks ditolak dengan harga tenaga dan makanan yang naik dan turun terlalu tinggi. Inflasi teras juga tidak menolak pengiraan barangan kawalan kerana harga barangan kawalan tidak berubah mengikut permintaan dan penawaran semasa.

Lim Guan Eng dan pemimpin pembangkang yang lain sepatutnya belajar serba sedikit tentang asas makroekonomi sebelum membuat tuduhan tidak berasas tentang ekonomi Malaysia berasaskan kadar inflasi utama yang tinggi.

Malaysia menerima RM59 billion pelaburan asing pada tahun 2016, iaitu kenaikan sejumlah RM23 billion berbanding RM36 billion pelaburan asing yang diterima pada tahun 2015.

Tiada krisis keyakinan

Ini menunjukkan bahawa tiada krisis keyakinan ekonomi seperti yang didakwa Lim Guan Eng.

Pembangkang mesti hentikan usaha menjatuhkan ekonomi Malaysia dengan menyebarkan berita palsu dan membuat tuduhan tidak berasas tentang kerajaan dan ekonomi negara.

Sekiranya pelabur asing dan pemain industri di Malaysia percaya dengan pembangkang, nescaya suatu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan bahawa ekonomi Malaysia akan terjerumus ke dalam kegawatan.


DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS