Paling Popular
Terkini

Kira-kira 40 wakil NGO dan aktivis membuat laporan polis terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung puisi yang diterbitkan di akaun Facebook beliau semalam.

Antara lain, laporan tersebut mendakwa mufti itu membuat ucapan berunsur hasutan yang bertujuan untuk menyebarkan kebencian umat Islam terhadap agama Hindu.

Jurucakap kumpulan itu Raja Retinam, berkata, sebagai seorang mufti, Mohd Asri sepatutnya lebih tahu mengenai perbuatan salah menghina agama lain.

"Mufti adalah kedudukan yang paling tinggi di negeri itu. Dia sepatutnya menasihati sultan dan negeri mengenai perkara-perkara agama.

"Bagaimana individu seperti itu boleh berada di kedudukan yang tertinggi bercakap buruk tentang agama lain dan amalan-amalan lain," katanya kepada pemberita selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Beliau mendakwa, ia adalah sebahagian daripada kempen untuk membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Mohd Asri berhubung puisi berkenaan.

Laporan polis berasingan juga dibuat terhadap pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Mohd Asri pagi ini menjelaskan bahawa puisi beliau merujuk kepada pentadbiran Perdana Menteri India, Narendra Modi dan bukan agama Hindu.

"Ada yang bertanya; mengapakah puisi Jumaat itu menyebut perkataan 'mempertuhankan lembu'?

"Jawabnya kerana puisi itu memperkatakan tentang kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari muslim dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu.

"Bahkan suasana itu seakan sengaja diwujudkan oleh kerajaan beliau atas dasar kesucian lembu yang mereka percaya. Anda boleh lihat artikel dan video dalam internet yang begitu banyak tentang kekejaman mereka kerana 'mempertuhankan lembu' dalam ertikata mensucikannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS