Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SRS bantu polis cegah jenayah
Diterbitkan:  Apr 23, 2017 9:18 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Penglibatan penduduk dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan perumahan dan kampung dapat mencegah kegiatan jenayah, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata anggota SRS kini boleh dilihat sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan dalam mengurangkan beban polis menangani masalah jenayah.

"Penubuhan SRS melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) merupakan satu daripada langkah terbaik yang mampu mengurangkan kadar jenayah di sesuatu kawasan kediaman penduduk.

"SRS bertugas secara sukarela dalam membantu polis menangani jenayah di sesuatu kawasan menerusi rondaan yang dilakukan dengan lebih kerap serta mengelak kebergantungan sepenuhnya kepada polis," katanya.

Malah, lebih daripada itu katanya SRS secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan serta toleransi dan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan penduduk setempat.

"Peranan SRS juga dilihat mampu membawa perubahan positif dalam usaha menyatupadukan penduduk atau pemastautin di sesebuah kawasan dan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan mereka yang menetap di sesuatu kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas berucap pada program Jom Ronda SRS Peringkat Parlimen Arau di Dataran Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan negeri Rela Ahmad dan Pengarah JPNIN Perlis Mohd Rosli Alias.

Terdahulu, ketika berucap Azlan turut memuji kesanggupan masyarakat setempat yang menganggotai SRS kerana berkorban masa dengan menjalankan rondaan pada waktu malam.

"Terima kasih tidak terhingga kepada penduduk yang sanggup bersengkang mata mencegah jenayah terutamanya melibatkan jenayah harta benda seperti curi kenderaan dan pecah rumah.

"Apa yang dilakukan oleh penduduk di setiap kawasan merupakan satu tugas mulia, selain dapat mewujudkan hubungan erat antara masyarakat dan polis," katanya.

Sehingga kini, JPNIN telah menubuhkan sebanyak 121 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 72 SRS dengan jumlah penyertaan masing-masing kira-kira 2,420 orang dan 1,440 orang di Perlis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS