Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sanjeevan bebas pertuduhan cuba lakukan pemerasan
Diterbitkan:  Apr 25, 2017 2:01 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kajang daripada pertuduhan cuba melakukan pemerasan supaya seorang ahli perniagaan menyerahkan wang perlindungan sebanyak RM20,000 kepadanya.

Utusan Online melaporkan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi berkata, pihaknya pada mulanya memohon supaya mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Sanjeevan daripada pertuduhan atas alasan pihaknya mendapat arahan daripada ibu pejabat Putrajaya untuk menarik balik kes kerana pengadu tidak mahu meneruskan kes.

Walau bagaimanapun, peguam S Preakas yang mewakili Sanjeevan memohon supaya anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan.

Majistret Norafidah Idris merekodkan, mahkamah melepaskan dan membebaskan Sanjeevan daripada pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Sanjeevan didakwa hendak melakukan pemerasan telah mendatangkan ketakutan terhadap Ong Lam Chin supaya menyerahkan RM20,000 kepadanya sebagai wang perlindungan pada pukul 8 malam, 23 Mei 2016 di sebuah restoran di Taman TTDI Grove di Kajang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

 

Lihat Komen
ADS