Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri seru pendamaian, tapi terus salahkan Hindraf
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 7:35 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Selepas kontroversi tulisannya yang menyinggung perasaan sesetengah penganut Hindu dan akvitis, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata hari ini meminta pihak berkaitan berdamai.

“Saya memohon kepada penganut kedua agama Islam dan Hindu, agar mengambil jalan pendamaian dan keharmonian dalam isu yang panas mutakhir ini,” katanya.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang hidup bawah satu lambang negara yang sama, kedamaian dan keharmonian wajib dikekalkan antara kaum

Beliau juga mengakui isu Zakir Naik telah “menegangkan hubungan antara kita” tetapi tetap menyalahkan Hindraf dalam isu itu.

“Puisi saya juga telah digunakan oleh mereka dalam kesempatan ini. Ini apabila mereka cuba memberikan maksud yang salah kepada puisi saya.

“Padahal dalam puisi terang menyebut 'di benua sana' iaitu merujuk kepada negara India pada masa ini,” katanya.

Asri pada Jumaat lalu mencoret sepotong “puisi” di media sosial yang didakwa menghasut kebencian terhadap agama Hindu.

Tulisan itu antaranya menyatakan kemarahan terhadap pihak “mempertuhankan lembu” yang membelenggu “pendakwah kita”, yang dipercayai merujuk kepada kontroversi pendakwah Zakir Naik.

Asri bagaimanapun kemudiannya berkata beliau merujuk kepada pentadbiran Perdana Menteri India Narendra Modi dan bukan agama Hindu.

Katanya, Modi membiarkan Muslim dibunuh dengan kejam saban hari hanya kerana memakan daging lembu.

Selain mengundang laporan polis, Asri juga kini sedang berdepan kritikan pelbagai pihak, termasuk penganut Hindu, penyair dan aktivis yang tidak selesa dengan kehadiran puisi itu.

'Kemukakan bukti'

Dalam kenyataannya hari ini, Asri berkata beliau bagaimanapun tetap memohon maaf “kepada mereka yang tidak terbabit dengan Hindraf tapi telah terguris atas rangkap puisi berkenaan.”

“Kesemuanya bagi menjaga kesejahteraan hubungan antara manusia tanpa mengira batasan agama.

"Saya harap semua pihak dapat menghentikan sebarang provokasi perkauman dan agama dalam isu Dr Zakir Naik ini ataupun selainnya,” katanya.

Asri juga meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan Zakir supaya mengemukakan bukti yang menunjukkan ceramahnya di Malaysia membawa kepada ketegangan agama.

“Sekiranya terbukti ada, sila berikan kepada saya, saya sendiri akan membantah, jika terbukti. Itu lebih baik dari cara Hindraf mengemukakan tuntutan tanpa bukti yang boleh diterima,” katanya.

Isu Zakir kembali meledak selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan beliau memperoleh status penduduk tetap negara ini sejak lima tahun lalu.

Sekumpulan aktivis sebelum ini telah memfailkan saman bagi mengusir Zakir daripada negara ini. Beliau terkenal dengan kaedah perbandingan agama ketika menyampaikan ceramah.

Lihat Komen
ADS