Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes kematian pelajar tahfiz, kementerian serah pada polis
Diterbitkan:  Apr 27, 2017 5:50 AM
Dikemaskini: 10:19 PM

Kementerian Pendidikan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian pelajar tahfiz yang didakwa dipukul pembantu warden asrama sekolahnya.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun sekolah terbabit tidak berdaftar di bawah kementerian namun ia tetap dilihat satu isu berkaitan institusi pendidikan di negara ini.

"Kita ucap takziah kepada keluarga murid yang terlibat, walaupun saya difahamkan sekolah tersebut tidak berdaftar namun ia masih merupakan satu institusi pendidikan yang mempunyai pelajar dan guru.

"Sudah tentu perkara ini di luar jangkaan kita, kerana ia melibatkan kesalahan yang berat kita serah pada polis," katanya ketika ditemui Bernama selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, di ibunegara semalam.

Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang semalam di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Pelajar tahfiz itu dijadual menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pagi tadi, namun ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kedua belah kakinya sebelum ini telah dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak pada bahagian lain tubuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis mengklasifikasikan semula kes kematian pelajar tahfiz yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya sebagai kes bunuh.

Katanya, kematian Mohamad Thaqif Amin akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di KOTA TINGGI, jenazah Mohamad Thaqif Amin Mohd dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Aping Timur, 12.37 tengah malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di rumah datuknya, Ahmad Motai dekat sini kira-kira pukul 11.40 malam.

Turut mengiringi jenazah pelajar itu adalah bapanya Mohd Gaddafi Mat Karim.

Jenazah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin,11, disembahyangkan di rumah datuknya, kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Asiah Md Ariff turut menziarahi keluarga Allahyarham di rumah Ahmad.

​​​​​​​Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluangkan masa menziarahi dan mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Jenazah Mohamad Thaqif Amin, dibawa keluar dari Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru kira-kira 10.50 malam selepas selesai bedah siasat.

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia pada pukul 2.05 petang Rabu di HSI.

Pelajar itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi semalam, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kisah Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS