Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR persoal k'jaan diam kehadiran kapal China
Diterbitkan:  Apr 27, 2017 11:36 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Ahli Parlimen PKR Lumut, Laksamana Pertama (B) TLDM Mohamad Imran Abd Hamid mempersoalkan mengapa kerajaan berdiam diri mengenai kehadiran kapal China di perairan Malaysia baru-baru ini.

Menurut laporan, dalam tempoh dua bulan pertama 2017, tiga kapal China didapati meronda di Beting Patinggi Ali, 145 kilometer dari Sarawak dan lebih 1,600 kilometer dari tanah besar China.

"Berikutan pencerobohan ini saya ingin mengutarakan soalan, mengapakah Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein memilih untuk berdiam diri dan enggan memberi sebarang reaksi di dalam situasi yang menyentuh kedaulatan perairan negara?" kata Mohamad Imran dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan dan Kementerian Pertahanan sepatutnya bertegas bagi menjaga perairan Sarawak, katanya.

Mohamad Imran, yang merupakan pesara Laksamana Pertama Tentera Laut, juga menegaskan bahawa China sedang mengusahakan perluasan sempadan negara mereka kononnya atas faktor 'sejarah', dengan melakar peta Laut China Selatan (LCS) beserta 'Sembilan Garis Putus-putus'.

Sebahagian daripada tuntutan mereka termasuk Beting Patinggi Ali di Sarawak.

Katanya, Beting Patinggi Ali yang terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram jelas berada dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) dan ia adalah milik Malaysia berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang- Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982)

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri pernah mengatakan tuntutan China atas faktor 'sejarah' itu mengarut dan tidak boleh diterima pakai," tambahnya.

"Jadi, apa kesudahan bantahan diplomatik yang dibuat ke atas China beberapa tahun lalu?" soalnya.

Mohamad Imran menggesa kerajaan supaya bertegas dalam hal ini demi menjaga perairan negara kerana ia merupakan perkara yang amat serius.

"Jika kita bersikap acuh tidak acuh kepada tindakan agreasif China, ia mungkin memberi ancaman kelak. Apakah kita mahu melihat satu lagi episod siri drama ketegangan geopolitik di rantau ini?" katanya.

Lebih menggusarkan, katanya, hal ini juga akan memberi kesan kepada aktiviti perikanan nelayan rakyat tempatan.

Terdapat laporan beberapa tahun kebelakangan ini bahawa nelayan tempatan dihalau di Beting Patinggi Ali oleh kapal China, tambahnya.

"Adakah kita mahu melihat nelayan tempatan hilang mata pencarian kerana sumber rezeki mereka disekat pihak asing?" soal Mohamad Imran.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS