Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR l Melihat kepada kekuatan golongan ulama di Kedah, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob yakin parti itu akan berjaya menawan semula negeri jelapang padi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita lihat di Kedah PAS mempunyai asas yang kukuh dengan peranan ulama, saya yakin Kedah akan kembali kepada PAS," katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS di Sekolah Rendah Darul Ulum, Kedah.

Dengan contoh pengalaman di Kelantan, Ahmad berkata kekuatan golongan ulama dalam PAS telah membantu parti berkenaan untuk kekal memerintah negeri tersebut.

Malah, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan turut menyuntik semangat kepada golongan ulama agar menjadi penggerak dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita yakin dengan semangat ini (suara ulama) kita di Kelantan dapat dikekalkan sekaligus mampu berhadapan dengan cabaran pihak tertentu yang menyebarkan persepsi negatif menjatuhkan kerajaan Kelantan.

"Ulama juga perlu menjadi ‘power jet’ untuk menggerakkan sayap kiri dan kanan PAS - sayap kanan pemuda dan sayap kiri muslimat.

"Sekiranya kita berjaya gerakkan agenda ini kita akan melakar kejayaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya umum akan datang, Ahmad membayangkan bahawa PAS perlu bekerja keras bagi menjadi parti pemerintah.

Ini kerana, katanya, sistem pemerintahan sekular nasionalis yang ada sekarang perlu ditolak dan diganti dengan pemerintahan Islam yang dibawa PAS.

Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya PAS tidak memerintah negara selepas pilihan raya umum akan datang, sebuah lagi parti sekular - parti sekular sosialis yang akan memerintah.

Bagaimanapun Ahmad tidak mengulas lanjut mengenai parti sekular nasionalis dan parti sekular sosialis yang disebutnya.

"Dasar sekular yang ada sekarang menyebabkan rakyat derita dengan bentuk penindasan dan kezaliman.

"Apa yang dibimbangkan, jatuhnya sebuah kerajaan sekular nasionalis tetapi diganti dengan sekular sosialis, kalau itu terjadi, PAS kena ambil masa 60 tahun untuk jatuhkan kerajaan sekular sosialis dan diganti dengan kerajaan Islam.

"Tidak guna dapat jatuhkan kerajaan yang ada sekarang tetapi yang naik ialah kerajaan sosialis, saya harap saudara memahami tuntutan semasa yang memerlukan kita buat persiapan secukupnya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS