Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak saman misfeasans Mahathir ke atas Najib
Diterbitkan:  Apr 28, 2017 5:14 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman misfeasans oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa Najib, sebagai perdana menteri, bukan seorang penjawat awam dalam jawatan awam.

Beliau kemudiannya membenarkan permohonan Najib untuk menolak saman itu dan mengarahkan Dr Mahathir, bersama-sama dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin membayar kos sebanyak RM30,000.

Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata mereka akan merayu keputusan itu.

Dengan keputusan hari ini, Dr Mahathir dan individu lain tidak lagi boleh menyaman Najib kerana beliau bukan seorang pegawai awam atau penjawat awam.

Hakim membuat keputusan itu di dalam kamar dan memutuskan untuk membatalkan saman berkenaan tanpa mendengar merit permohonan.

Abu Bakar berdasarkan keputusannya kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Interpretasi, di mana perdana menteri, menteri-menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik tidak dianggap sebagai pegawai awam tetapi hanya sebagai anggota pentadbiran.

Najib di wakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada 23 Mac tahun lalu, Dr Mahathir dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, 41, selaku pihak plaintif, memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan salah laku.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam selaku perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS