Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenderaan dari Thailand akan dikenakan caj RM20

Kenderaan dari Thailand akan dikenakan caj jalan raya (RC) dalam masa terdekat selepas Kabinet meluluskan kutipan bayaran itu seperti yang telah dilaksanakan di sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rundingan sedang dilaksanakan dengan pihak berkaitan khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri yang merupakan laluan masuk ke Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

"Bayaran yang akan dikenakan ialah RM20. Setiap negeri apabila mereka kutip dari sempadan masing-masing, kami akan serah semula RM5 kepada kerajaan negeri terlibat. Ini sama seperti yang dipraktikkan di Johor," katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-71 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan 'Rakyat Didekati, JPJ Disayangi' di Dataran Bentong di Bentong, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Liow juga memaklumkan kutipan RC bagi kenderaan dari Singapura sejak ia dilaksanakan pada 15 Ogos lalu sebanyak RM7.9 juta, namun menegaskan kutipan itu bukan semata-mata bersifatkan keuntungan.

"Ini bukan dilihat dari segi hasil sahaja. Kami lihat dari segi keselamatan kerana tidak mahu kereta klon atau kenderaan yang masuk dari Singapura. Mereka harus pulang.

"Kami boleh kesan. Dulu mereka masuk dan letak kenderaan di sini...banyak kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun... yang tidak boleh digunakan di sana, dihantar ke Malaysia," katanya.

Pada perkembangan lain, Liow juga memberitahu 17,823 notis dikeluarkan sejak Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menggabungkan Sistem Pemberian Mata Dimerit Kesalahan Jalan Raya dan Sistem Penguatkuasaan Automatik dikuatkuasakan mulai15 April lalu.

Daripada jumlah itu, 15,492 notis adalah berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju manakala bakinya 2,340 adalah kerana melanggar lampu merah.

"Sejak pelaksanaan Kejara, kami dapati kadar pematuhan adalah sangat baik. Di kawasan yang mempunyai kamera (AES), kadar pematuhan sekarang adalah 95 peratus. Kalau dulu hanya lebih kurang 50 peratus sahaja. Masyarakat kini memandu lebih berhemah dan berdisiplin.

"Saya sangat gembira, kerjasama yang diberikan oleh rakyat. Kami bukan nak denda orang. Kami hendak selamatkan nyawa dan kalau boleh kami mahu semua mengikut peraturan lalu lintas," katanya.

Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong seterusnya memaklumkan JPJ berjaya memungut hasil RM3.8 bilion sepanjang 2016, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kutipan terbanyak iaitu 70 peratus atau RM2.7 bilion disumbangkan menerusi bayaran Lesen Kenderaan Motor manakala tiga negeri yang mencatatkan jumlah kutipan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor, katanya.

Liow berkata tugas dan tanggungjawab JPJ juga semakin bertambah dengan peningkatan jumlah kenderaan terkumpul yang semakin meningkat iaitu 27.6 juta buah kenderaan pada 2016, berbanding 20.2 juta pada tahun 2010.

Bilangan pemandu yang dilesenkan JPJ juga menurut Liow meningkat sebanyak 20.69 peratus dalam tempoh lima tahun iaitu 1.38 juta orang pada tahun lalu, berbanding 1.22 juta orang pada 2010.

"Keperluan pengangkutan yang mendesak menyebabkan kadar pemilikan kenderaan di Malaysia antara 50 negara tertinggi di dunia yang menjadikan perkhidmatan JPJ amat kritikal," katanya.

Liow menambah kadar kemalangan di negara ini juga masih berada pada tahap membimbangkan dengan 512,466 kemalangan direkodkan pada tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Liow juga memaklumkan sebanyak 76 pemeriksaan telah dilaksanakan bagi mengesan kegiatan tayar celup yang tidak memperoleh kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) dengan empat kes diambil tindakan melibatkan rampasan berjumlah RM210,810.

Lihat Komen
ADS