Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah bercanggah dengan Islam walaupun difatwakan sebagai harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ketua Penerangan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan memberikan alasan untuk mengutip GST demi kebaikan negara berdasarkan muzakarah jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014.

Bagaimanapun, menyifatkan fatwa berkenaan sebagai suatu kesilapan, Mohd Khairuddin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus menegaskan cukai dalam Islam hanya boleh dikutip menerusi beberapa syarat termasuk hanya boleh diambil daripada golongan kaya.

"Pertama bila jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa hanya melihat kepada tujuan cukai diambil (untuk kebaikan negara) di situlah bermula segala kepincangan dan kesilapan dalam mengeluarkan fatwa," katanya  pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-63, di Alor Setar hari.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan bahawa Islam mengharuskan pemerintah mengutip cukai termasuk GST selagi terdapat keperluan berbuat demikian selain mendatangkan kebaikan kepada negara serta rakyat.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, sebelum GST dilaksanakan, ba­nyak kajian telah dijalankan secara terperinci untuk melihat tahap keperluannya.

"Pelaksanaan GST adalah untuk memenuhi tujuan ekonomi, sosial dan kepentingan rakyat meliputi aspek kesihatan, pendidikan, rekreasi, kebajikan serta keselamatan, justeru, kerajaan dibenarkan mengutipnya untuk memenuhi kepentingan umum," katanya seperti dilaporkan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, prinsip cukai dalam Islam hanya boleh dikutip oleh kerajaan melalui tiga syarat.

"Pertama, boleh diambil cukai apabila baitumal atau pendapatan negara kekurangan pendapatan untuk menampung keperluan negara.

"Kedua, mestilah kekurangan hasil itu berlaku bukan kerana faktor ketirisan dan pembaziran. Dan ketiga, cukai yang diambil itu mestilah diambil daripada orang kaya sahaja," jelasnya.

Tambah beliau, atas alasan GST gagal menepati ketiga-tiga syarat tersebut di mana cukai yang diperkenalkan pada 1 April 2014 itu turut dikenakan kepada orang miskin.

Justeru PAS katanya sudah memberi cadangan altenatif kepada pelaksaan GST yang sudah dibentangkan melalui Dokumen Hijau.

"Antaranya kerajaan boleh mengenakan cukai korporat iaitu hanya melibatkan cukai orang-orang kaya dan cukai jual beli saham berdasarkan keuntungan saham.

"PAS konsisten menyatakan bahawa GST adalah cukai yang bercanggah dengan Islam dan perlu dibatalkan kerajaan dan Majlis Fatwa Kebangsaan tanpa rasa hormat kepada mereka kita menyatakan mereka tersilap dalam perkara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS