Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah kejohanan catur beri penjelasan
Diterbitkan:  May 3, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Seorang pengawai pertandingan catur yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini menafikan dakwaan dikaitkan padanya, malah mendedahkan insiden itu memberi kesan kepada anak-anaknya.

Pengarah Pertandingan Catur Sekolah Kebangsaan 2017, Sophian A Yusuf, dipetik sebagai berkata tuduhan yang dibuat ke atasnya adalah fitnah.

Kata Sophian, dia tidak pernah berjumpa dengan remaja yang kononnya dianggap berpakaian menggoda semasa pertandingan berkenaan berlangsung.

“Ia tidak benar. Saya tak berada di sana pun semasa kejadian itu didakwa berlaku.

"Saya tidak pernah berjumpa pelajar itu atau melihat bagaimana dia berpakaian pada hari berkenaan," katanya dipetik akhbar New Straits Times hari ini.

Menurut Sophian, dia hanya mengetahui bagaimana pakaian remaja perempuan berusia 12 tahun itu selepas ditunjukkan gambarnya oleh seorang jurugambar pertandingan berkenaan apabila kontroversi itu tercetus.

Pertandingan catur berkenaan menjadi perhatian ramai selepas isu pakaian remaja terbabit yang dianggap "menggoda" menjadi tular di media sosial.

Sebagai pengarah pertandingan, Sophian menjadi sasaran kritikan sesetengah pihak dan dianggap bertanggungjawab atas kejadian itu.

Jurulatih catur, Kaushal Khandhar, yang mendedahkan insiden itu di Facebook pada minggu lalu mendakwa, teguran penganjur dimaklumkan kepada ibu remaja terbabit pada saat akhir.

Remaja itu kemudian menarik diri daripada pertandingan ketika perbincangan berlangsung kira-kira jam 10 malam. Keluarganya pula dikatakan tidak mempunyai masa bagi membeli pakaian baru untuk dipakai bagi pusingan selanjutnya yang akan berlangsung pada jam 9 pagi keesokan hari.

Buktikan tuduhan tak benar

Khaushal turut memuat naik gambar skirt pelajar terbabit dalam Facebooknya sambil menuntut pengarah pertandingan memohon maaf.

Menurut NST, Sophian menitiskan air mata ketika menceritakan bagaimana dia menerima pesanan yang menghina serta mengecamnya.

"Saya menerima mesej dan ancaman di Facebook serta e-mel. Mereka memanggil saya dengan pelbagai gelaran seperti pedofilia dan pelaku sumbang.

"Saya cuba mencari jika ada mesej yang memberi sokongan tetapi tak ada," katanya yang mendedahkan anak perempuannya sendiri adalah pemain catur.

Sophian berkata, anaknya itu yang berusia 11 tahun tahu dia dikecam orang ramai, manakala anak lelakinya juga terjejas dengan apa yang berlaku.

"Apabila orang menggelar saya dengan pelbagai gelaran di media sosial, apa yang boleh saya buat sekarang ialah kekal tabah dan membuktikan semua dakwaan itu tidak benar," katanya.

Menurut Sophian, isu berkenaan sudah dibangkitkan seorang juri pada hari pertama pertandingan berlangsung.

Seorang lagi juri juga mengarahkan pembantu wanita kejohanan itu menasihati remaja terbabit.

"Bagaimanapun nasihat itu tidak diendahkan," katanya dipetik NST.

Menurut Sophian lagi, remaja itu menyerahkan surat menarik diri daripada pertandingan itu sehari kemudian.

Sophian juga memberitahu, dia menerima satu panggilan telefon daripada ibu remaja berkenaan namun tidak menjawabnya kerana sedang menguruskan kejohanan berkenaan.

Pada 21 April, katanya, ibu remaja itu menghantar satu e-mel untuk mendapatkan penjelasan dan menuntut dia membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Saya membalas e-mel itu sehari kemudian dan menjelaskan kepadanya apa yang berlaku. Dia tidak menerima penjelasan itu dan masih mahu saya memohon maaf," katanya.

Menurut Sophian, dia sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis berhubung kejadian minggu lalu itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS