Empat puluh sembilan pengikut "Ayah Pin" dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut hari ini atas tuduhan melanggar perintah mufti yang dikeluarkan melalui fatwa, kerana terlibat dengan pegangan dan ajaran sesat.

Semua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek.

Menurut laporan Bernama, mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes, di samping meluluskan permohonan pihak pendakwa agar semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Sementara itu tuduhan ke atas enam orang pengikut Ayah Pin, termasuk seorang seorang wanita warga New Zealand, Judith Lilian, 54, digugur dan mereka dibebaskan, sama ada kerana beragama Kristian (bagi Judith), atau di bawah umur.

Mengikut kertas pertuduhan pada 20 Julai 2005 kira-kira jam 10.30 pagi, semua mereka telah didapati berada di kawasan kediaman pemimpin ajaran sesat itu di kampung Batu 13, Mukim Tenang, Ulu Besut, yang mana tindakan mereka itu telah melanggar perintah mufti yang dikeluarkan melalui fatwa supaya orang ramai menghindari diri dari terlibat dengan pegangan dan ajaran "Ayah Pin".

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di bawah sekyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ayah Pin belum dikesan

Mereka merupakan sebahagian daripada 58 pengikut guru ajaran sesat itu, yang diberkas dalam satu operasi membabitkan 30 anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehjwal Agama Terengganu (JHEAT) dan 40 anggota polis di markas kumpulan itu yang dinamakan sebagai "kerajaan langit" di Batu 13, Ulu Besut pagi semalam.

Bagaimanapun pemimpin ajaran sesat itu, Ariffin Mohamad, 57, serta empat orang isterinya sehingga ini masih belum dapat dikesan.

Daripada kalangan 49 orang yang dituduh itu, 25 adalah wanita berusia antara 25 dan 77 tahun manakala selebihnya adalah lelaki berusia antara 19 dan 74 tahun.

Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah semasa memohon supaya mereka tidak dibenarkan ikat jamin berkata jika ia dibenarkan, mereka mungkin akan melarikan diri dan tidak hadir ke mahkamah.

Selain itu, menurutnya tuduhan yang dikenakan terhadap mereka juga adalah serius kerana terlibat dengan ajaran sesat yang boleh mengancam akidah orang Islam, khususnya rakyat Terengganu.

"Mereka juga kemungkinan besar akan mengganggu dan mengancam saksi-saksi yang bakal memberi keterangan sekiranya dibenarkan ikat jamin," katanya.

Dinasihat lantik peguam

Ketika membenarkan permohonan itu Wan Abdul Malik mengarahkan pengikut lelaki Ayah Pin ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di Kampung Raja, manakala pengikut wanita ditahan di balai polis Jerteh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes tersebut.

Perintah tahanan selama lapan hari itu dibuat mengikut seksyen 107 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu yang dibaca bersama seksyen 22 (5) Enakmen yang sama.

Wan Abdul Malik juga menasihatkan pengikut-pengikut Ayah Pin itu melantik peguam untuk sebutan semula kes tersebut.

Kes kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang hangat dibicarakan di seluruh negara sejak kebelakangan ini mengakibatkan menyebabkan perkarangan mahkamah mula dibanjiri orang ramai sejak awal pagi lagi.

Mereka sedikitpun tidak berganjak daripada kawasan itu walaupun tuduhan terhadap pengikut-pengikut "Ayah Pin" hanya bermula kira-kira jam 1.30 petang.

Suasana riuh rendah tercetus di sekitar kawasan itu sebaik saja bas JHEAT yang membawa pengikut wanita kumpulan itu memasuki perkarangan mahkamah pada pukul 12.55 tengah hari.

Sekumpulan orang ramai yang hadir itu juga kedengaran mengeluarkan kata-kata mengejek atau mempersenda-sendakan kumpulan ajaran sesat itu apabila bas JHEAT yang membawa pengikut lelaki masuk ke perkarangan itu empat minit kemudian.