Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Exco PAS tetap bertugas macam biasa di Selangor
Diterbitkan:  May 8, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Exco PAS dalam kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa ketika parti itu sudah menerima usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata parti itu masih tetap bersama dalam kerajaan negeri yang mendapat mandat darpada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

"Oleh yang demikian, exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa dan memastikan semua program kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dapat dilaksanakan dengan jayanya," kata beliau hari ini.

Kenyataan Iskandar yang juga naib presiden PAS itu dibuat hanya kira-kira seminggu selepas muktamar parti itu menerima usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Kerajaan Selangor dibentuk melalui penguasaan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri oleh PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS. Pembangkang pula diwakili Umno yang menduduki 12 kerusi lain.

Usul memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) antara PAS dan PKR itu diterima selepas dibentang wakil dari Dewan Ulama Pusat PAS pada 30 April lalu.

Bagaimanapun PAS bertegas, keputusan muktamad hanya akan dibuat oleh Majlis Syura Ulama (MSU) parti terbabit yang akan bersidang, dijangka tidak lama lagi.

Pimpinan PAS Selangor sudah beberapa kali menyatakan kesediaan mereka meletak jawatan dan berundur jika MSU PAS menetapkannya begitu.

Sebelum PKR, PAS juga memutuskan kerjasama dengan DAP.

Di tengah pelbagai khabar angin mengenai nasib kerajaan Selangor ketika ini serta kecaman PAS terhadap PKR serta Pakatan Harapan semasa muktamar ke-63 parti itu di Kedah baru-baru ini, wakil rakyat mereka hadir menyambut kepulangan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu.

Antara yang hadir ialah dua exco PAS, Zaidy Abdul Talib, dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, serta Timbalan Speaker DUN Selangor, Shafie Ngah, yang juga dari PAS.

Bagaimanapun, Iskandar tidak kelihatan pada majlis anjuran kelab penyokong kerajaan negeri itu.

Iskandar berkata, exco Selangor juga akan terus memainkan peranan aktif dan berkesan dalam kerajaan, selari dengan komitmen yang diberikan untuk mendukung prinsip serta dasar di Selangor sejak Mac 2008.

"Dengan itu, kami memberi sokongan kepada kerjasama dan persefahaman serta kepimpinan sedia ada untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kestabilan dan pembelaan yang berterusan," katanya.

Lihat Komen
ADS