Paling Popular
Terkini

Presiden baru Korea Selatan mengangkat sumpah pada hari Rabu dan berikrar untuk segera mendepani tugas sukar dalam menangani cita-cita nuklear Korea Utara dan mengendurkan ketegangan dengan Amerika Syarikat dan China.

Dalam ucapan pertamanya sebagai presiden, Moon Jae-in berkata beliau akan memulakan usaha untuk meredakan ketegangan di Semenanjung Korea dan berunding dengan Washington dan Beijingbagi mengendurkan krisis berhubung sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat yang ditempatkan di Korea Selatan.

Ketika mengucapkan tahniah melalui satu panggilan telefon, Presiden Amerika Donald Trump bersetuju dengan Moon untuk bekerjasama dalam isu nuklear Korea Utara dan menjemput beliau melawat Washington, kata pejabat presiden Korea Selatan.

Rumah Putih berkata kedua-dua mereka bersetuju untuk terus mengukuhkan pakatan antara kedua negara.

Kenyataan Korea Selatan berkata Trump berkata masalah nuklear Korea Utara adalah sukar, tetapi boleh diselesaikan.

Korea Utara dipercayai sedang membuat persediaan untuk ujian nuklear keenam dan sedang membangunkan peluru berpandu nuklear yang mampu sampai ke Amerika Syarikat - yang dilihat mungkin merupakan isu keselamatan yang paling mendesak yang dihadapi Trump.

Pegawai AS telah menyatakan kebimbangan bahawa advokasi penglibatan Moon dengan Korea Utara boleh melemahkan usaha AS untuk meningkatkan tekanan melalui pengasingan lanjut dan sekatan.

Pentadbiran Trump juga kecewa dengan Moon mempersoalkan penempatan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat di Korea Selatan dan menjangkakan ia boleh menjejaskan hubungan, walaupun para pegawai AS berkata pendirian Moon mungkin memjadi lebih sederaha apabila memegang jawatan dan kesannya ke atas pakatan, akan terhad.

Dalam jawatan penting yang pertama baginya, Moon menamakan dua veteran liberal yang mempunyai kaitan dengan penglibatan "Sunshine Policy" 2000-an dengan Korea Utara untuk mengisi jawatan perdana menteri dan ketua perisikan.

Suh Hoon, seorang pegawai agensi perisikan yang memainkan peranan penting dalam dua sidang kemuncak antara Korea Utara dan Korea Selatan sebelum ini, dinamakan untuk mengetuai Perkhidmatan Perisikan Negara.

Lee Nak-yon, seorang gabenor wilayah yang merupakan sekutu politik dua bekas presiden yang mengadakan sidang kemuncak dengan Korea Utara pada tahun 2000 dan 2007, telah dicalonkan sebagai perdana menteri. Pelantikan beliau memerlukan kelulusan Parlimen.

Moon dijangka mengisi segera baki anggota kabinet dan kakitangan pejabat presiden untuk memenuhi kekosongan kuasa ekoran penyingkiran Park Geun-hye pada bulan Mac berikutan skandal rasuah yang menggegarkan dunia perniagaan Korea Selatan dan elit politik.

"Saya akan segera cuba untuk menyelesaikan krisis keselamatan itu," kata Moon di bangunan parlimen. "Jika perlu, saya akan terbang terus ke Washington. Saya akan pergi ke Beijing dan Tokyo dan, jika keadaan sesuai, juga akan ke Pyongyang."

Suh berkata Moon boleh pergi ke Pyongyang jika lawatan itu dilihat jelas dapat membantu menyelesaikan krisis nuklear Korea Utara dan dapat meredakan ketegangan.

Korea Utara mungkin menyambuat baik pemilihan Moon tetapi media negara itu tidak menyebut tentang kemenangannya pada hari Rabu.

Agensi Perisikan Pusat (CIA), sementara itu, memilih hari selepas pemilihan Moon untuk mengumumkan ia telah menubuhkan Pusat Misi Korea "untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber, keupayaan, dan pihak berkuasa agensi itu dalam menangani ancaman peluru berpandu nuklear dan balistik yang ditimbulkan oleh Korea Utara."

Pusat itu berkata, Ia akan mengumpulkan pegawai yang berpengalaman dari seluruh CIA dalam satu entiti "untuk menghimpunkan kepakaran dan kreativiti mereka" untuk tujuan tersebut.

Moon bertemu pemimpin parti-parti pembangkang sebelum majlis angkat sumpah di Parlimen, di mana partinya tidak mempunyai majoriti, dan berjanji untuk menyelaraskan dengan mereka mengenai keselamatan negara.

Dalam ucapannya, Moon, 64, juga berjanji untuk memutuskan apa yang disifatkannya sebagai hubungan pakatan sulit antara perniagaan dan kerajaan yang melanda banyak konglomerat yang dikendalikan oleh keluarga di Korea Selatan, dikenali sebagai chaebol, dan berikrar untuk membasmikan rasuah.

"Saya mengambil jawatan ini dengan tangan kosong, dan saya akan meninggalkan pejabat dengan tangan kosong," kata Moon.

[Baca berita penuh]

- Reuters
 

Lihat Komen
ADS