Laporan tentang Jawatankuasa Budiman 1MDB mengelirukan

       

Jawatankuasa Budiman yang ditubuhkan pada 2015 bagi memantau proses rasionalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), telah menyelesaikan empat daripada tugasannya, dan tiada lagi fungsi untuk dilaksanakan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Malah katanya mesyuarat jawatankuasa itu juga tidak diadakan sejak enam bulan lepas.

Oleh itu, laporan yang menyebut bahawa mana-mana anggota Jawatankuasa Budiman dilepaskan daripada tugasnya adalah salah dan mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari merujuk artikel berita bertajuk "Bandar Malaysia fallout: Two relieved of duties" yang disiarkan oleh Singapore Straits Times pada 10 Mei.

Johari dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda adalah sebahagian daripada anggota Jawatankuasa Budiman.

Artikel berita itu juga memetik satu lagi laporan yang mendakwa kedua-duanya (Johari dan Arul) serta Jawatankuasa itu tidak lagi mengetuai pembangunan utama berkaitan 1MDB, Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

Ini susulan keputusan pembatalan perjanjian RM7.41 bilion untuk membangunkan bersama Bandar Malaysia oleh Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC).

Dalam kenyataan itu, Johari berkata beliau terlibat dalam Jawatankuasa Budiman selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada Julai 2015.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga meneruskan rasionalisasi 1MDB dan berjaya melupuskan aset tenaganya dalam CGN Group China, mengaktifkan semula pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dan memuktamadkan proses pembidaan Bandar Malaysia.

Jawatankuasa itu juga meneruskan timbang tara antara Intenational Petroleum Investment Company (IPIC) dan 1MDB bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan lebih US$3.5 bilion bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada Kumpulan IPIC.

Johari berkata susunan penyelesaian antara 1MDB dan IPIC dan pertikaian semasa antara Iskandar Waterfront City Bhd- China Group Railway Litd (IWC-CREC) dan Bandar Malaysia, dikendalikan dan diurus terus oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Lembaga Pengarah 1MDB.

Selain penyingkiran Arul Kanda sebagai Pengerusi Bandar Malaysia, Lembaga Pengarah 1MDB dan PMO akan terus menguruskan isu-isu membabitkan Bandar Malaysia secara langsung dengan pihak-pihak berkenaan, katanya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda